KLUANG: Nurhamiza Abdul Hamid, 40, merayu bantuan orang ramai bagi mendapatkan pakaian seragam dan kelengkapan persekolahan untuk empat anaknya selepas rumah mereka di Taman Matahari di sini, terbakar Isnin lalu.
Nurhamiza berkata, anak-anaknya sudah dua hari tidak ke sekolah kerana semua kelengkapan rosak akibat tragedi yang berlaku kira-kira pukul 9.37 malam.
“Kami sekeluarga tinggal bersebelahan rumah yang menjadi punca kebakaran. Walaupun rumah kami tidak terbakar sepenuhnya, namun bomba terpaksa menyembur air ke bahagian atas rumah untuk mengawal api menyebabkan semua kelengkapan persekolahan anak-anak musnah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurhamiza berkata, suaminya, Mohd. Zaimili Saat, 46, merupakan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mempunyai pekerjaan lantas menjadikan keadaan kewangan mereka semakin terdesak selepas musibah.
Katanya, buat masa ini, mereka sekeluarga menumpang di rumah ibu di Sri Lalang sementara mencari rumah sewa yang berdekatan dengan sekolah anak-anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tiga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Aris Bendahara.
“Saya benar-benar mengharapkan bantuan pihak yang prihatin untuk menyediakan pakaian dan keperluan sekolah anak-anak saya serta membantu mendapatkan rumah sewa berhampiran sekolah mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Nurhamiza menerusi talian 018-4614842. – UTUSAN










