PASIR SALAK: Penduduk Kampung Batu Hitam di sini meminta jalan berlubang dan tidak rata sepanjang kira-kira 1.5 kilometer (km) di penempatan mereka dibaiki segera.
Tinjauan mendapati, banyak bahagian jalan yang berlubang dan sukar untuk dilalui kenderaan terutama kereta.
Penduduk, Ahmad Termizi Ramli, 48, berkata, laluan tersebut merupakan jalan utama ke Pekan Kampung Gajah dan keadaan bertambah teruk jika hujan apabila lubang dipenuhi air bertakung.
“Pada hari biasa, jalan ini sememangnya tidak selesa untuk dilalui kerana banyak lubang dan semakin hari semakin besar. Kalau musim hujan pula, lubang dipenuhi air menyebabkan penduduk yang melaluinya tidak nampak bahagian berlubang.
“Bayangkan kalau ada hal kecemasan pada waktu malam seperti menghantar orang sakit atau wanita yang hendak bersalin ke hospital dalam keadaan hujan, jalan berlubang dan rosak, ia memang bahaya,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Sulliman Basri Tawab, 59, berkata, situasi itu sudah berlaku sejak empat tahun lalu dan keadaannya semakin teruk.
Katanya, terdapat beberapa kemalangan melibatkan pengguna jalan raya yang terbabas kerana mahu mengelak lubang atau lopak air.
“Saya sendiri pernah terbabas sehingga masuk dalam parit di tepi jalan ini kerana hendak mengelak lubang yang ada air. Nasib baik ada orang nampak dan membantu saya.
“Keadaan sudah tentu lebih membahayakan kepada pengguna lain terutama yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah, sukar nak dibayangkan kalau mereka terbabas. Jadi, kami berharap jalan ini segera diperbaiki untuk kemudahan penduduk kampung ini,” katanya. – UTUSAN











