Tiga perusahaan kena penalti RM2.97 juta kartel tipuan bida 

Tiga perusahaan kena penalti RM2.97 juta kartel tipuan bida 

ISKANDAR Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenakan penalti kewangan sebanyak RM2.97 juta kepada tiga perusahaan kerana terlibat dalam kartel tipuan bida melibatkan enam tender yang dikeluarkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

Perusahan tersebut melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) antara 2018 dan 2021 melibatkan jumlah kira-kira RM44.84 juta.

Tiga perusahaan tersebut ialah Abadi Malaysia Sdn. Bhd. (Abadi Malaysia), Kota Lanskap Sdn. Bhd. (Kota Lanskap) dan Usia Maintenance Sdn. Bhd. (Usia Maintenance) (secara kolektifnya dirujuk sebagai Perusahaan). 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata, aktiviti tipuan bida melibatkan beberapa projek berkaitan penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, landskap serta kerja kejuruteraan awam di Putrajaya.

Katanya, pihaknya telah menjalankan siasatan awal dan mengenal pasti sembilan perusahaan yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida.

“MyCC percaya ketiga-tiga perusahaan yang terlibat berkemungkinan mempunyai hubungan yang rapat seperti keluarga dan rakan terdekat. 

“Siasatan penuh kemudian dijalankan termasuk serbuan ke atas premis perusahaan terlibat, pengambilan pernyataan daripada 24 individu, permohonan maklumat serta analisis bukti yang berkaitan.

“Hasil daripada siasatan tersebut, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap Perusahaan terbabit pada 10 September 2024 dan telah menerima representasi mereka pada 11 November 2024 dan 13 Mac 2025,” katanya dalam sidang media di sini.

Iskandar berkata, selepas meneliti representasi tersebut secara menyeluruh, MyCC mendapati tiga perusahaan terbabit telah melanggar Akta 712 dan seterusnya mengeluarkan Keputusan Pelanggaran terhadap Perusahaan tersebut pada 7 Julai 2025.

“Siasatan mendapati bahawa penyelarasan untuk membida tender oleh perusahaan terlibat telah dilakukan melalui perkongsian maklumat menerusi WhatsApp, emel dan beberapa mesyuarat. 

“MyCC juga mendapati bahawa dokumen tender telah disediakan oleh pekerja daripada ketiga-tiga perusahaan di satu lokasi yang sama di bawah penyelarasan Abadi Malaysia, iaitu melalui salah seorang pengarah syarikat terlibat. Modus operandi ini telah digunakan oleh kumpulan kartel ini di dalam kesemua enam projek,” katanya. 

Menurut Iskandar, semasa serbuan dijalankan, MyCC menemui dokumen milik semua perusahaan di premis Kota Lanskap, yang menunjukkan wujudnya penyelarasan secara berpusat antara perusahaan berkaitan penyediaan dokumen tender. 

“Pakatan ini menyebabkan Usia Maintenance dan Abadi Malaysia masing-masing memenangi Tender 1 dan Tender 5. 

“Namun begitu, mereka tetap didapati bersalah bagi empat tender yang selebihnya kerana bukti menunjukkan tingkah laku kartel dalam keempat-empat tender tersebut. 

“Bagi Kota Lanskap, MyCC mendapati syarikat tersebut menunjukkan tingkah laku kartel yang sama keseluruhan proses penyediaan dan penghantaran dokumen tender untuk sepanjang kesemua enam tender,” katanya.

Sehingga kini, MyCC sedang menyiasat sebanyak 14 kes dengan melibatkan lebih 500 syarikat. 

“Siasatan ini juga melibatkan tender-tender lebih RM2.3 juta di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×