KOTA BHARU: Penggunaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) akan diperlaus ke seluruh negara dalam usaha membendung ketirisan bahan itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan ini membolehkan setiap transaksi minyak masak peket bersubsidi direkod secara digital.
“Sebelum ini kita melaksanakan sistem tersebut membabitkan peruncit, namun isunya sekarang adalah kepada pengguna bagi memastikan bekalan minyak masak peket sentiasa ada.
“Jadi,kita kena panjangkan pelaksanaan sistem ini sehingga ke peringkat pengguna kerana jika tiada kaedah, macam mana penguatkuasaan dapat dilakukan sekali gus dapat mengekang ketirisan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Stesen Minyak Shell Panchor, di sini hari ini.
Armizan berkata, perluasan eCOSS bukan bertujuan mengurangkan subsidi minyak masak, sebaliknya sebagai mekanisme kawalan yang telus dan bersasar.
“Pengguna perlu memuat turun aplikasi eCOSS dan mengimbas kod respons pantas (QR) setiap kali membuat pembelian minyak masak peket. Sistem eCOSS turut mengesahkan identiti pengguna menerusi proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) menggunakan MyKad, bagi memastikan hanya warganegara layak menerima subsidi (membeli minyak masak),” ujarnya. – UTUSAN











