PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dunia tidak boleh terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Iran.
Berucap dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil, Anwar berkata BRICS perlu menjadi suara keadilan sejagat, menolak penindasan dan menjunjung maruah insan.
Malaysia, katanya, konsisten menyeru dunia agar tidak dibelenggu perpecahan geopolitik, sebaliknya dibentuk atas semangat kerjasama dan kemakmuran bersama.
“Komitmen terhadap masa depan digital yang adil, selamat dan inklusif untuk semua adalah antara keutamaan kita,” katanya.
Sidang kemuncak itu memberi fokus kepada pengukuhan multilateralisme, reformasi sistem kewangan global dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika.
Anwar turut menyuarakan kebimbangan terhadap geopolitics of tech yang didorong kuasa geopolitik yang mampu mengganggu kestabilan global.
Katanya, Malaysia men-yambut baik kenyataan BRICS berkaitan tadbir urus AI berasaskan nilai etika dan kesejahteraan sejagat.
“Negara ini melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI, selain memimpin inisiatif jaringan ASEAN AI.
“Malaysia bersedia menjalin kerjasama lebih erat dengan BRICS untuk membentuk sistem ekonomi global yang adil, serta persekitaran digital yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya.
Perdana Menteri berkata, multilateralisme bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan mutlak bagi menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi dan kedaulatan negara-negara membangun agar tidak terus terpinggir dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi.
Sementara itu, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva semasa sesi Pentadbiran Global, Keamanan dan Keselamatan, turut bersuara mengenai konflik Gaza, Iran dan Ukraine dengan mengatakan, pastinya tiada apa yang membenarkan tindakan keganasan oleh Hamas.
Lula berkata, kita tidak boleh terus tidak ambil peduli terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel di Gaza, pembunuhan sewenang-wenangnya orang awam dan penggunaan kelaparan sebagai senjata perang.
Katanya, penyelesaian kepada konflik itu hanya boleh dilaksanakan dengan menamatkan pendudukan Israel dan menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dalam sempatan 1967.
Kerajaan Brazil katanya turut mengutuk pencabulan integriti wilayah Iran, sama seperti yang dilakukan dalam kes Ukraine.
“Pihak terlibat dalam perang di Ukraine mesti segera menggerakkan dialog secara langsung yang menyasarkan kepada suatu gencatan senjata dan keamanan berpanjangan,” katanya.
Menurut Lula da Silva, kejayaan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Timur menunjukkan bahawa ia mampu membawa keamanan dan kestabilan. UTUSAN










