BRICS tawar peluang besar, pasaran baharu - Anwar

BRICS tawar peluang besar, pasaran baharu – Anwar

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap pada Forum Perniagaan BRICS sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17 di Rio De Jeneiro, Brazil semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BRICS menawarkan peluang yang amat besar untuk syarikat Malaysia mencari peluang dan mene­roka pasaran baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka sudah tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran tradisional semata-mata.
Beliau memuji syarikat se­perti Petronas dan Yinson Production atas kejayaan usaha niaga mereka di Brazil.

Katanya, pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan teknikal, malah menjadi lambang kerjasama strategik yang erat dan komitmen bersama ke arah kemajuan dan kesejahteraan kedua-dua negara.

“Dalam ucapan saya menyeru syarikat-syarikat Malaysia agar lebih proaktif meneroka pasaran baharu dan memanfaatkan platform seperti BRICS yang membuka ruang pertumbuhan di luar pasaran tradi­sional seperti Amerika Syarikat dan China.

“Selain itu saya juga tegaskan bahawa kejayaan syarikat seperti Petronas dan Yinson di Brazil membuktikan ke­upayaan kita bersaing di ekonomi pesat membangun.

“Presiden Brazil, Lula da Silva turut kagum apabila dimaklumkan tentang jejak perniagaan Malaysia di negaranya, bukti potensi besar yang harus terus kita teroka,” katanya dalam perkongsian sewaktu meng­hadiri majlis makan ma­lam anjuran Yinson Holdings Bhd di Rio de Janeiro yang meraikan hubungan kukuh dan berterusan antara Malaysia dan Brazil.

Majlis ini turut menandakan kejayaan pengeluaran minyak pertama FPSO Atlanta, iaitu FPSO ketiga Yinson di Brazil yang dibangunkan bagi pihak Brava Energia.

Yinson, pemilik dan pe­ngendali kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), mempunyai tiga projek di Brazil sejak 2023 iaitu FPSO Anna Nery, FPSO Maria Quiteria dan FPSO Atlanta.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak itu adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS dan selaku Pengerusi ASEAN 2025. Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Jan tahun ini.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil meningkat 14.6 peratus kepada RM20.35 bilion (AS$4.38 bilion) pada 2024, daripada RM17.43 bilion pada 2023. Brazil adalah salah satu rakan dagang utama Malaysia di Amerika Latin. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×