Tak lengkap hari raya tanpa juadah dodol. Ia bagaikan sudah menjadi menu wajib ketika sambutan Aidilfitri. Mana tidaknya, keenakan rasa lemak manis dan kenyal itu selalunya menjadi santapan ketika berkumpul beramai-ramai bersama keluarga.
Namun, rasa sedapnya itu setimpal dengan usaha yang diperlukan dalam proses pembuatannya. Untuk menghasilkan dodol bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan masa yang sangat lama untuk menghasilkan tekstur yang kenyal dan lembut. Tak sah kalau tak lenguh tangan mengacau dodol!
Tapi kini, memasak dodol bukan lagi sesuatu yang sukar. Tanpa menggunakan kawah yang besar dan proses mengacau sehingga berjam-jam lamanya, dodol kini boleh sedia terhidang dalam sekelip mata dengan inovasi teknologi.
Ia direalisasikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), yang membangunkan tepung pracampuran dodol 12 minit yang praktikal dan mudah.
Tepung pracampuran yang diperbuat daripada bahan-bahan seperti gula, serbuk santan, tepung beras pulut, tepung beras campuran, garam dan pewarna yang dibenarkan itu hanya perlu dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro selama 12 minit sebelum dihidangkan.
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan MARDI, Mohamed Nazim Anvarali berkata, inovasi ini bertepatan dengan kehendak masyarakat moden inginkan cara hidup lebih mudah dan ringkas.
“Proses pembuatan dodol secara tradisional mengambil masa sekitar 8 hingga 9 jam. Melalui inovasi ini kami dapat memendekkan kepada hanya 12 minit dengan pemanasan menggunakan ketuhar.
“Malah, proses pembuatan yang singkat itu juga tidak memerlukan tenaga yang ramai. Seorang pun sudah cukup. Ia juga sangat bertepatan dengan kehendak ramai masa kini yang inginkan sesuatu yang senang dan mudah disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tepung pracampuran dodol itu dibangunkan sejak 2007. Ia mengalami banyak proses penambahbaikan dalam menghasilkan tekstur dodol seakan sentuhan tradisional khususnya daripada segi kelazatannya.
Kata Nazim, inovasi dodol itu dibangunkan menggunakan kaedah pengelatinan menggunakan ketuhar gelombang mikro yang mempercepatkan proses berkenaan.
“Rumusannya mudah, apabila kanji daripada tepung yang kita gunakan dicampurkan dengan air dan dipanaskan, air berkenaan akan masuk ke dalam ruang-ruang kanji dan menyebabkan adunan berkembang. Itu yang terjadi semasa proses memasak di dalam ketuhar.
“Selepas adunan dikeluarkan daripada ketuhar dan digaulkan sebati sehingga sejuk seterusnya ia mengalami proses retrogradasi di mana molekul kanji tersusun rapat selepas penyejatan dan menjadi liat,” jelasnya.
Biarpun teksturnya liat, namun ia tidak terlalu melekit dan mudah untuk dihidangkan.
PEK MUDAH DIBAWA
Bukan sahaja cara penyediaan yang mudah, malah produk ini hadir dengan pembungkusan mesra pengguna. Ia mudah dibawa kemana sahaja dengan pek 500 gram (g) yang sesuai untuk hidangan enam hingga tujuh orang.
Oleh itu, ia amat sesuai bagi mereka yang gemar menikmati dodol segar dari ketuhar.
Dengan inovasi tepung pracampuran yang telah diformulasi dengan bahan-bahan kering, satu pek berkenaan dapat bertahan sekitar tiga hingga empat bulan.
Menurut Pembantu Pegawai Penyelidik, Mohd. Faiz Che Mohd. Noor berkata, biarpun makanan tradisi telah dimodenkan ia tetap mengekalkan rasa sensasi dodol walaupun tidak seratus peratus sama seperti resepi tradisional.
“Kalau nak dibandingkan dengan resepi tradisional memang agak berbeza rasanya tetapi rasa dodol itu tetap ada.
“Kerana tidak boleh dinafikan kaedah memasak secara tradisional melalui proses penyejatan yang lama dan daya kacau yang lama menghasilkan rasa yang enak,” jelasnya.

Selain itu, MARDI turut mengalu-alukan usahawan yang berminat untuk memasarkan inovasi berkenaan dan hadir mengikuti kursus yang dianjurkan bagi.
Harga kos bagi setiap pek tepung pracampuran dianggarkan sekitar RM6.50.









