Pengering rumah hijau lonjak pendapatan pengusaha ikan bekok

Pengering rumah hijau lonjak pendapatan pengusaha ikan bekok

ARHAM Abdullah (tiga dari kanan) bersama peserta ikan bekok di Pantai Geting, Tumpat. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kemudahan berasaskan teknologi pengering rumah hijau, Geting EcoDry di Pantai Geting di sini, memberi peluang kepada pengusaha ikan bekok meningkatkan pengeluaran harian sehingga tiga kali ganda sekali gus melonjakkan pendapatan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Projek Geting EcoDry yang beroperasi menggunakan teknologi pengering rumah hijau itu membolehkan pengusaha memproses sehingga 300 kilogram (kg) ikan bekok sehari berbanding hanya 100 kg sebelum ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Arham Abdullah berkata, kemudahan itu diwujudkan hasil kerjasama sinergi tiga pihak melibatkan UMK, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan masyarakat.

“Pusat ini dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) UMK dalam membantu melonjakkan perusahaan tradisi kepada industri.

“Sistem pengeringan baharu itu jauh lebih sistematik kerana dapat mengelakkan produk daripada terdedah kepada habuk, serangga, haiwan perosak dan hujan sekali gus menjamin kualiti selain ketahanan produk,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Geting EcoDry di sini, semalam.

Arham berkata, pelaksanaan projek itu menunjukkan satu lonjakan besar daripada kaedah konvensional kepada moden yang dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran selain memendekkan masa pemprosesan selain memberi peluang ekonomi lebih luas kepada belia dan wanita setempat.

Katanya, projek tersebut membuktikan bahawa inovasi mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang mampan.

Sementara itu, seorang peserta Projek Geting EcoDry, Noriah Ghazali, 59, berkata, pusat pengeringan komuniti atau Geting EcoDry memberi memberi peluang kepada 10 pengusaha ikan bekok atau keropok di sekitar Pantai Geting untuk menggunakan kemudahan berkenaan.

Katanya, kilangnya sebelum ini hanya mampu proses ikan bekok kira-kira 100 kg sehari dan kini mampu meningkatkan hasil antara 200 hingga 300 kg sehari sekiranya stok ikan tidak terputus bekalan.

“Sebelum ini, kami terpaksa menanggung kerugian pada musim tengkujuh berikutan ikan bekok tidak dapat diproses akibat cuaca tidak menentu. Dengan kemudahan pusat Geting EcoDry, kami dapat menjemur ikan bekok walaupun cuaca hujan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN