RAUB: Layanan berbeza antara dua cawangan bank menimbulkan persoalan apabila seorang warga emas uzur terpaksa ‘berjuang’ demi mendapatkan kad bank baharu.
Insiden itu dikongsikan oleh Shah Faizal Rosli, 41, yang kecewa dengan sikap sambil lewa kakitangan bank di Raub sewaktu dia membawa bapanya, Rosli Mahat, 72, yang sakit tua dan tidak boleh berjalan untuk membuat kad baharu.
Katanya, kad mesin juruwang automatik (ATM) bapanya ‘ditelan’ mesin semasa cuba mengeluarkan wang pada Sabtu lalu namun semasa hadir ke bank pada Isnin lepas untuk menggantikan kad tersebut, urusan menjadi rumit.
“Saya sudah maklumkan Abah (bapa) sakit, tidak boleh berjalan. Kami sanggup angkut Abah dalam kereta, harap dapat bantuan. Tetapi staf minta kami bawa Abah turun juga, lepas itu tanya boleh ke dia tekan nombor pin.
“Kami cakap tangan Abah sudah keras, dia pun sudah tidak ingat (nombor pin). Tetapi kami sanggup cuba juga. Mereka bagi kerusi roda, kami bawa Abah masuk tetapi lepas itu terus tidak layan kami,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Tersang 1 di sini, semalam.
Lebih mengecewakan, Shah Faizal mendakwa, mereka dimaklumkan hanya ada satu cara untuk terus mengakses wang iaitu membawa bapanya ke kaunter setiap kali mahu mengeluarkan duit.
“Abah kami sakit, uzur sangat. Hendak bawa ke bank setiap bulan? Itu bukan penyelesaian. Akhirnya kami ambil keputusan keluarkan semua duit dari akaun melalui kaunter tetapi cap jari pun sudah tidak boleh dibaca. Proses itu leceh dan menyakitkan hati,” katanya.
Tidak berputus asa, Shah Faizal berkata, dia kemudian membawa bapanya ke cawangan bank yang sama di Bentong keesokannya dan pengalaman mereka nyata jauh berbeza.
“Kakitangan bank di Bentong sangat membantu. Siap sediakan kerusi roda, bantu turunkan Abah, tolak masuk ke bank dan ambil cap jari. Bila cap jari tidak dapat dibaca, mereka minta kami dapatkan surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bentong.
“Lepas itu semuanya lancar. Kad baharu terus dibuat dan nombor pin pun staf bantu isteri saya tetapkan. Tiada isu,” katanya.
Menurut Shah Faizal , pengalaman itu menimbulkan persoalan mengapa terdapat perbezaan ketara daripada segi layanan dan prosedur antara dua cawangan bank yang sama.
“Kami bukan nak layanan istimewa, tetapi tolonglah faham keadaan warga emas yang uzur. Jangan susahkan lagi orang yang sudah sedia susah. Abah sendiri sebagai peneroka menerima bayaran bulanan melalui akaun bank dan keperluan untuk memiliki kad ATM adalah penting demi kelangsungan hidup,” jelasnya. – UTUSAN











