Gebar di kaki lima

Gebar di kaki lima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aku tidak pasti siapa lagi yang masih memandang aku seperti manusia. Biarpun namaku Rais yang telah dikurniakan oleh kedua orang tuaku. Makna nama itu ketua dalam bahasa Arab. Namun, aku bukanlah pemimpin dunia.

Di kota ini, aku lebih mirip bayang yang tidak bersuara. Merebahkan tubuhku yang tidak dijaga rapi ini di Lorong Haji Taib di tengah ibu kota. Kalau pun mereka tahu, ia hanya muncul di dada akhbar, bukan sebagai tempat tinggal manusia seperti aku.

Akhbar. Itulah satu-satunya benda yang mereka campak tapi aku pungut seperti emas. Mereka tidak tahu, atau mungkin tidak peduli yang akhbar itulah satu-satunya bahan bacaan aku.

Kisah-kisah orang besar, orang kaya, orang yang punya rumah, punya suara, punya nama semua aku baca.

Meskipun ramai yang menyangka aku ini buta huruf. Kadang-kadang perkara ini membakar hati aku.

Kadang-kadang aku hanya baca separuh, bukan sebab tidak faham, sebaliknya sebab terlalu kenyang dengan kenyataan.

Kertas yang mereka lipat dan campak itulah juga yang pernah aku gunakan sebagai gebar tidurku. Sewaktu angin malam menggigit tulangku yang rapuh.

Akhbar itu jugalah yang pernah jadi selimut aku. Suhu malam menyiat kulit aku umpama pisau tajam.
Kertas itu lembik, nipis dan tidak mampu melawan dingin, hakikatnya itu saja yang aku ada.

Dan itu pun masih lebih berguna berbanding simpati khalayak ramai.

Aku pernah tidur atas helaian berita tentang seorang hartawan yang mendermakan bantal mahal ke rumah anak yatim.

Lucu. Sebabnya, malam itu aku tidur tanpa bantal. Cuma beralaskan lipatan kotak dan helaian akhbar yang sudah hancur dengan bilah-bilah hujan.

Bagi mereka, akhbar itu cuma berita. Bagi aku pula, akhbar itu lantai, bumbung sama dunia.

Dan daripada helaian akhbar itulah, aku sering membaca nasib-nasib manusia lain. Bukan hanya tentang orang kenamaan atau selebriti jatuh cinta.

Kadang-kadang aku termenung di bawah cahaya lampu jalan yang mendesis lesu membelek tajuk-tajuk yang terpampang.

“Apalah khabar nasib bumi menerima makhluk seperti kami?” Pernah soalan ini terdetik dalam batinku.

Dalam satu helaian lain, aku terbaca tentang konflik sempadan antara India dan Pakistan.

Peluru berpandu, sempadan bergolak, gencatan senjata dan ratusan yang mati. Aku tidak tahu mengapa dua negara itu masih memilih peperangan sebagai bahasa rundingan.

Dan seperti biasa, sebuah negara yang berbintang 50 muncul. Kononnya sebagai penengah, pemantau dan penyelamat dunia.

Namun daripada apa yang aku baca, mereka lebih gemar jadi pemilik pentas, bukan sekadar penonton.

Apabila ada konflik, mereka datang dengan bahasa ‘keprihatinan’, dengan ‘bantuan kemanusiaan’.

Orang seperti aku pun tahu yang semua itu wayang semata!

Ada masa juga aku bertanya kepada diri sendiri, “Adakah perdamaian itu benar-benar agenda. Atau sekadar cara lain untuk memiliki kuasa?”

Namun, siapalah aku untuk bersuara tentang politik dunia.

Aku sendiri tidak punya rumah. Tidak punya alamat. Tidak punya punya status untuk diangkat.

Aku bukan duta, bukan pegawai, bukan wartawan, bukan pakar geostrategi. Aku hanyalah seorang lelaki berbaju koyak yang duduk membaca akhbar lama di tepi kaki lima.

Siapalah aku untuk bercakap tentang imperialisme dan hegemoni.

Biarpun aku tiada rumah, wang atau pentas untuk bersuara. Aku hanya cuma ada sepasang mata.

Dan sepasang mata inilah yang membaca akhbar lama yang mereka lemparkan di kaki lima.

Itu cukup untuk aku tahu bahawa dunia ini sering alpa. Dan yang rapuh seperti aku selalunya hanya dijadikan ambal.

Di halaman yang sama, satu gambar kecil di penjuru kiri menangkap pandanganku, seekor haiwan liar dilanggar lori. Tubuhnya berdarah dan kaku.

Berita itu tertulis, bahawa kawasan itu laluan migrasi, namun lori tetap menang dan hutan tetap kalah. Aku tatap lama gambar itu.

Aku rasa seperti melihat diri aku sendiri. Terbaring di tempat yang bukan untuk orang sepertiku. Ditindih oleh sistem yang terlalu berat untuk dihadam.

Aku sedekahkan doa dari hujung kaki lima supaya dunia terus cakna dengan berita di akhbar. Bukan hanya untuk dicetak semata.
Kekadang dalam hati aku memberontak.

“Kenapa mereka fikir aku ini bukan seorang manusia hanya kerana baju aku compang-camping? Hanya kerana bau tubuhku tidak dibanjiri minyak wangi yang beratus harganya?”
Aku tidak lupa kata-kata seorang pegawai kebajikan yang pernah datang padaku. Aku tidak ingat Namanya yang tercetak di vestnya. Mungkin Ahmad. Entah aku tidak ingat.

“Biar kami bantu. Kamu cuma perlu terima bantuan.”

Tapi mereka tidak faham. Aku bukan sekadar memerlukan bantuan. Aku hanya mahu didengar, mahu ada tempat untuk berdiri. Mahu dihargai lebih daripada sekadar data statistik ‘misi menyelemat’ mereka.

Aku sedar yang bantuan merek hanya sepintas lalu. Umpama iklan yang disiarkan berulang kali di dada televisyen. Penuh dengan janji namun kosong realitinya.

Masih lagi aku ingat suatu petang, seorang lelaki bersut berjalan laju sambil menekup hidungnya bila melewati aku.

“Apa ini? Macam bangkai. Patutnya tempat ini dibersihkan!” Katanya dengan suara yang keras, sambil menoleh dan memandang aku umpama sampah berjalan yang menodai kota ini. Aku senyum.

“Kadang-kadang bangkai pun ada cerita, tuan. Cuma tuan yang tidak sudi dengar.”

Dia jeling tajam sebelum berlalu pergi.

Aku tidak marah. Aku sudah biasa. Aku sudah terlalu biasa dengan pandangan itu.

Diri ini memang lebih senang dipandang sebagai sesuatu yang tidak diperlukan, bukan?

Sesuatu yang hanya ada ketika mengganggu pandangan.

Biar mereka tahu, akal bukan diukur daripada apa yag mereka sangka.

Aku tahu bagaimana nyawa manusia diragut di medan politik. Bagaimana haiwan diragus di atas aspal yang kita cipta.

Dan bagaimana manusia seperti aku diragut perlahan-lahan oleh rasa tidak dipedulikan.

Dan ya, aku tidak lupa ayat paling hipokrit yang selalu aku dengar apabila televisyen di kedai makan sedang bersiaran.
“Kita prihatin.”

Kalau prihatin, kenapa aku di sini?

Kalau prihatin, kenapa bumi semakin bergolak?

Kalau prihatin, kenapa anak gajah melintas pun habis dirempuh?

Sekali lagi, ini semua salah mereka yang membuang akhbar. Tidak hadam dengan berita yang berlaku hari-hari sebelum itu.

Berita yang dibaca, hakikatnya tidak direnungkan. Seperti naskhah yang ditutup sebelum sempat difahami.

Aku masih ingat satu Jumaat, aku cuba masuk ke dalam saf terakhir di Masjid Jamek Kampung Baru.

Waktu itu, hujan baru reda, dan aku sempat cuci tangan dan muka. Baju aku basah, ada bau yang tidak mudah hilang.

Tapi aku datang juga, sebab aku tahu solat itu untuk semua.

Tapi sebaik saja aku berdiri, seorang lelaki di sebelah aku, berjubah dan berkopiah putih, menarik tangannya ke sisi. Tidak mahu merapatkan saf. Dia tidak kata apa-apa. Tapi bahunya berkata semuanya.

Aku senyum.

Tidak paksa. Tapi aku tidak lupa.

Kenapa? Kerana aku selekeh? Kerana bau aku bukan bau kasturi? Kerana tangan aku pernah kutip sisa makanan daripada tong sampah hijau?

“Apakah orang seperti aku tidak layak untuk mengabdikan diri kepada Tuhan?”

Aku bukan ustaz. Bukan hafiz al-Quran. Namun aku pernah baca satu ayat terjemahan yang terus melekat dalam kalbu. Lebih kuat daripada mana-mana khutbah Jumaat.

Surah Al-Hujurat ayat 13, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.”

Lihat. Orang seperti aku pun tahu ayat ini. Ayat yang menyebut manusia.

Dan semua manusia bukan hanya yang berbau wangi atau berpakaian bersih. Namun siapa yang bertakwa, siapa yang ikhlas, siapa yang tidak mengusir dengan bahu walau lidahnya diam.

Aku cuma mahu tempat berdiri yang adil di rumah Dia. Walau hanya di hujung saf, walau hanya dengan kaki basah dan baju koyak.

Kerana aku datang bukan sebagai gelandangan. Aku datang sebagai hamba-Nya.

Dan seorang hamba, bila tunduk kepada Tuhan, sepatutnya berdiri sama di sisi siapa pun. Biar di dunia ini tempat kami selalu renggang.

Selepas celoteh panjang aku ini, mata ini memandang ke langit yang sudah muram seperti hendak menangis.

Aku menapak perlahan-lahan ke sudut biasa, di bawah bumbung kedai usang yang dulu pernah jadi tempat aku berlindung pada waktu malam yang menggigil.
Usai solat, aku berjalan di jalan kota raya.

Ternampak seorang lelaki muda. Mungkin dia pekerja pejabat berdekatan.

Lelaki itu melepasi aku dengan tergesa-gesa. Tangan kirinya menggenggam plastik bungkus makanan, tangan kanannya memegang gulungan akhbar.

Sampai di hadapan tong sampah, tanpa fikir panjang, dia campakkan akhbar itu ke dalam tong seperti melepaskan sesuatu yang tidak ada nilai.

Aku tunggu dia berlalu, lalu aku hampiri tong sampah itu.

Dan seperti biasa, aku selak satu persatu helaian akhbar. Hendak membaca apa berita terbaharu hari ini.

Di muka surat tengah, ada kolum bertajuk “Misi Kemanusiaan: Siapa yang Kita pilih untuk diselamatkan?” Aku baca setiap barisnya. Tajam, sinis dan umpama menyindir mereka yang berpakaian kemas tapi buta hati.

Di bawah kolum itu, ada satu contengan dengan pen merah. Mungkin lelaki itu yang buat.

“KITA PRIHATIN.” Itulah contengannya. Aku tergelak kecil. Bukan kerana lucu, sebaliknya kerana letih.

“Kalau prihatin mengapa lelaki itu tetap membuang akhbar ini. Dan mengapa gebar aku masih datang dari tong sampah yang kamu tinggalkan?” Aku bisik perlahan sambil menekup dada.

Kerana aku tahu, walau tidak ada siapa mahu mendengar aku. Tidak lain daripada Dia yang satu. Ya, Tuhan masih mahu melihat aku. Dan itu cukup.

Aku menutup mata. Dan sebelum lena datang dalam sejuk malam yang semakin dalam, aku sempat berbisik kepada diri sendiri.

“Kadang-kadang, bangkai pun ada cerita. Dan hari ini, bangkai itu sudah habis bercerita. Iqra’, bismi rabbika allazhi khalaq…”

Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

Ya. Terkejut bukan? Aku hafal dan cakna ayat suci al-Quran itu.

Lalu aku pun menyimpan akhbar itu untuk menjadi gebar tidurku. Selimut bagi tubuh, juga pelindung bagi akal.

Orang lain membuangnya di kaki lima, menganggapnya sampah yang hanya layak dipijak.

Tetapi aku? Aku menjadikannya tilam, tempat berlindung dari sejuk dunia yang sering lupa. Dan lebih daripada itu, aku membacanya.

Setiap tajuk utama adalah gema dunia. Setiap kolum kecil adalah suara manusia yang ingin didengari. Di sinilah ironi paling agung terjadi.

Di celah kaki lima, di atas gebar yang dianggap najis kota, aku mendengar seruan wahyu.

Kerana membaca bukan sekadar membuka buku. Membaca adalah melihat dunia yang ditinggalkan.

Dan barangkali, dalam helaian yang sudah lesu itu, masih ada huruf yang mampu menghidupkan jiwa yang hampir mati ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×