BESUT: Mushaf milik Nurly Sahirah bakal ditempatkan di sebuah galeri di dalam bangunan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islam (I-Furqan) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Nurly Shahirah adalah salah seorang daripada 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (URTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ketika ini galeri berkenaan sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi pada awal 2027.
“Galeri ini akan dinamakan sempena Allahyarham Nurly Sahirah, ia adalah penghargaan daripada UPSI kepada pelajar cemerlang ini yang terkorban dalam tragedi bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) baru-baru ini.
“Ketika kematian Allahyarham, al-Quran hasil tulisan tangan beliau itu berada di dada arwah, yang mana ia menunjukkan betapa dekatnya Nurly Sahirah ini dengan kitab suci itu, ” katanya ketika ditemui pada program Lawatan Kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Besut hari ini.
Katanya, mushaf tersebut diletakkan di galeri itu dengan keizinan bapa Allahyarham iaitu Azman Mohamad, 63, untuk tatapan orang ramai.
Mushaf itu juga diharap menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar tahfiz yang lain untuk menghafal al-Quran dengan cara menulis.
Sementara itu, selepas empat hari rumah keluarga Allahyarham Nurly Sahirah ‘ditutup’ kepada orang ramai, kini keluarganya bersedia menerima kunjungan tetamu bermula esok.
Ibunya, Kamariah Abdul Latif, 60, berkata ,bagaimanapun mereka berharap orang ramai yang ingin berziarah dapat mematuhi waktu yang ditetapkan iaitu bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang bagi memberi ruang kepada ahli keluarga berehat.
“Walaupun kita telah beritahu sepanjang tempoh empat hari ini kami ‘tidak’ menerima tetamu namun masih ada yang singgah. Kita telah tetapkan waktu melawat bermula pukul 9 pagi tetapi seawal subuh telah ada yang datang ke rumah.
“Kami tidak menghalang mereka untuk datang, bagi saya mereka adalah jemputan Allah SWT. Di mana hati orang ramai ini digerakkan oleh yang maha kuasa untuk datang ke kediaman kami di samping menziarahi pusara arwah,” kata ketika ditemui di Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini. – UTUSAN











