Dua beranak gudang Yorkshire bijirin rumah mewah RM25 juta

Dua beranak ubah gudang bijirin terbiar jadi rumah mewah RM25 juta

SETIAP silo diubah suai dengan sebahagian besar aluminium asal digunakan semula. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DERETAN gudang bijirin logam terbiar di kawasan luar bandar Yorkshire kini bertukar menjadi sebuah kediaman mewah yang mengagumkan, hasil kreativiti luar biasa seorang bapa dan anaknya.

Reka bentuk unik dan ciri-ciri lestari rumah empat bilik tidur menerusi projek pembinaan yang dimulakan oleh Richard Dales, 58, bersama anak perempuannya, Olivia Ward, 30, kini bernilai sekitar 4.25 juta pound (RM25 juta).

Usaha itu dimulakan apabila dua beranak itu membeli tanah pertanian di kawasan berhampiran perkampungan Malton yang merangkumi lapan struktur silo logam usang yang sudah tidak digunakan.

Di saat orang lain melihatnya sebagai besi buruk, mereka melihatnya sebagai peluang mencipta sesuatu yang hebat.

“Ramai fikir kami gila. Tetapi kami nampak potensi yang orang lain tidak melihatnya,” kata Dales dalam temu bual bersama The Sun UK.

Rumah ini mengekalkan bentuk bulat asal silo, menjadikan ruang dalamannya unik dengan dinding melengkung, siling tinggi dan tingkap bulat yang menawan.

Ruang tamu utama berada dalam silo terbesar, lengkap dengan dapur bekonsep terbuka, ruang makan moden dan bilik mandi bergaya spa.

Antara tarikan utama rumah ini adalah sebuah pokok zaitun hidup yang ditanam di tengah-tengah rumah dan menjulang dari lantai ke siling kaca seolah-olah simbol keharmonian antara alam dan seni bina.

Keluarga Dales menekankan kepentingan kelestarian dalam setiap aspek reka bentuknya.

Pam haba menggantikan sistem pemanas tradisional sementara panel solar di atas bumbung menjana pemanasan lantai bawah tanah, bahkan mampu membekalkan lebihan tenaga kembali ke Grid Nasional.

Bumbung hijaunya membantu menstabilkan suhu dalaman dan menyerap air hujan sementara pengudaraan semula jadi dikawal dengan reka bentuk aliran pintar.

Dengan semua teknologi ini, rumah silo ini hampir bebas karbon dan sangat menjimatkan tenaga.

Rumah silo ini kini menjadi tumpuan media sosial dan pelbagai pameran seni bina.

Ramai pengguna menyifatkannya sebagai rumah ladang futuristik atau tempat tinggal paling unik di Britain.

“Kami cuma mahu mencipta tempat tinggal yang dekat dengan alam tetapi tetap selesa dan moden,” ujar Ward, yang juga jurutera dalam projek ini.

Konsep adaptive reuse atau penggunaan semula struktur lama semakin mendapat tempat di Eropah tetapi jarang yang berani menukar silo pertanian menjadi kediaman mewah.

Projek ini bukan sahaja mencabar norma seni bina, tetapi juga menjadi simbol inovasi luar bandar dan bukti apa yang dianggap usang masih boleh menjadi sesuatu yang luar biasa jika ada tangan-tangan yang berani mengubahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×