MUKADIMAH
Pas dan Perikatan Nasional (PN) boleh dianggap sebagai government in waiting (kerajaan menunggu) jika mengambil kira sentimen rakyat masa kini, demikian pandangan Naib Presiden Pas, DATUK IDRIS AHMAD ketika ditemui di ibu pejabat parti di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berkeyakinan dapat menarik sokongan sekurang-kurangnya lima peratus pengundi bukan Melayu untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Ahli Parlimen Bagan Serai itu juga menyentuh pemilihan Pas yang dijadual berlangsung di Kedah pada September ini.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, ASLINDA NASIR dan FATIN NORIZATI MAT ISA bersama jurugambar, M. FIRDAUS M. JOHARI dan juruvideo, KAMARUL KAMARUDIN, Idris juga mengulas siapa calon Perdana Menteri daripada Pas.
MINGGUAN: Bagaimana sokongan terhadap Pas ketika ini?
IDRIS: Alhamdulillah daripada segi kemasukan ahli Pas baharu, tidak kurang 2,000 ke 4,000 orang setiap bulan, jumlah ahli pula sekarang kita ada sejuta lebih.
Gelombang hijau punca peningkatan ahli Pas bertambah?
Memang betul dan terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15, sokongan itu nampak konsisten. Dulu bawah 1,000 tetapi sekarang meningkat kerana kita dapat sokongan ahli korporat, anak muda, keluarga Pas dan yang bukan Pas itu sendiri.
Mereka anggap Pas ini sebagai satu wadah kerana dulu ada saingan UMNO. Bila mutakhir ini selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan dimana UMNO bersama dengan DAP, ramai beralih arah kepada Pas sendiri.
Banyak bekas pegawai kerajaan yang pencen, kerap berbincang dengan saya, mereka tidak mengharapkan lagi kepada UMNO. Sebaliknya, meletakkan harapan itu kepada Pas untuk menjadi tunggak kepada wadah perjuangan mereka.
Kita kena ingat senario berlaku pada hari ini, generasi muda bila tengok komen di media sosial tentang kerajaan, 90 peratus daripadanya komen gelak daripada tanda suka. Itu yang secara jelas, kita pun bukan ada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) atau agensi lain.
Malah sebelum ini juga, rakyat lihat ada pihak memberi harapan baharu dan menolak Barisan Nasional yang sudah 60 tahun memerintah, iaitu harapan mereka agar ada perubahan dalam politik dan ekonomi, namun apa mereka harapkan itu tidak berlaku. Jadi, ramai korporat marah dengan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai baharu lagi dan orang kini sudah mula marah kerajaan.
Dulu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi hari ini tiada benda yang mereka hendak harapkan, sebab itu ada beberapa menyokong mereka dulu termasuk Bersih tetapi kini sendiri mengkritik kerajaan hari ini, paling dahsyat apabila ada pelajar bangkit buat pelbagai tindakan.
Cuma Pas kini digambarkan oleh musuh kita iaitu DAP dengan macam-macam label (untuk memburukkan imej parti).
Adakah Pas bersedia untuk menjadi kerajaan sekali lagi?
Ya, kita bersedia sebab kita ada pengalaman, kita pernah jaga kementerian ketika jadi kerajaan. Malah, kita pegang pada integriti, anda boleh semak dengan pegawai-pegawai kerajaan sekarang.
LEBIH BAIK JADI WALAUN DARIPADA WALANON
Mengapa masih ada menganggap Pas adalah parti ekstrem?
Orang tuduh dengan pelbagai gelaran iaitu ekstrem, parti khawarij. Kalau begitu, saya tak bertemu dengan awak. Tetapi sentimen ini mereka cuba bawa. Kalaulah kita ekstrem, tidak mungkin kita ada ramai ahli dan penyokong dalam kalangan profesional, Pas punyai 500 doktor pakar jadi ahli. Jadi, ia hanyalah persepsi.
Ada juga beri kita gelaran walaun, tetapi lebih baik jadi walaun daripada walanon.
Maksudnya Pas ini bukan sekadar parti politik, tetapi dakwah?
Salah satu komponen dakwah adalah bercerita tentang Islam, Pas tidak ajak sertai terus kepada parti. Kita didik dengan iman dan akhlak, kemudian baru kita tarik dengan Pas. Dakwah ini maksudnya kita proses membentuk manusia.
Kemudian kita jadikan pemimpin parti. Maksudnya dakwah itu raw, bahan mentah yang kita dapat. Kemudian bentuk dengan siasah (politik). Seterusnya ahli bertanding jadi wakil rakyat dan boleh jadi kerajaan. Kalau tidak jadi kerajaan, tidak boleh buat apa, hanya boleh bersyarah sahaja. Contoh bila ada kuasa, kita boleh haramkan judi.
TAWARAN PAS
Apa tawaran Pas kepada rakyat jika jadi kerajaan?
Sebenarnya hendak jadi kerajaan ini, kita rangka dasar dan kemudian bagi pegawai kerajaan laksanakan. Kita ada pegawai amat terbaik. Sewaktu saya menteri dulu, banyak konsultan datang hendak jumpa saya buat program, saya cakap tidak perlu sebab kita ada pegawai kerajaan.
Buat apa bayar beratus ribu. Jadi, kita ada kelebihan pernah jadi kerajaan di samping pegawai kerajaan yang cemerlang.
Sebelum ini pun banyak dasar Pas yang Kelantan buat, akhirnya Pusat juga buat, contohnya pinjaman tanpa faedah kita buat dulu, rumah tiga bilik kini jadi polisi. Jadi, kita yakin dan percaya boleh buat.
Jadi, dalam konteks politik Malaysia yang berbilang kaum ini, bagaimana Pas melihat kepimpinan Melayu dalam menentukan arah tuju negara?
Kita kena faham dalam politik Malaysia, realitinya ialah orang Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negara. Jadi, kita selalu diingatkan tentang dua perkara. Pertama, perjuangan politik mesti berasaskan kekuatan Melayu-Islam. Kedua, masyarakat majmuk.
Kedua-dua elemen ini tidak boleh dipisahkan. Kita mesti pandai imbangkan antara menjaga kepentingan Melayu dan keharmonian kaum.
Kelemahan kerajaan yang boleh ditambah baik?
Dasar kerajaan semuanya cantik, dalam Rancangan Malaysia ke-13, tetapi pelaksanaannya gagal. Sebagai contoh, tentang peruntukan Parlimen bernilai RM4 juta, kalau saya dapat, boleh salurkan RM1 juta setahun untuk baiki rumah rakyat. Tetapi kenapa tidak selesai bab ini? Saya turun jumpa masyarakat, sepatutnya masalah ini tidak berlaku. Maksudnya kita lemah daripada segi pelaksanaan dan ia memerlukan integriti.
PAS TIDAK KEJAR JAWATAN PM
Sekarang Pas memiliki 43 kerusi, apa sasaran pilihan raya akan datang?
Kita sedang mengatur strategi ke arah itu untuk pertahan dan menambahkan jumlah kerusi daripada 40 kepada 60 kerusi. Kerusi itu mungkin di kawasan bandar yang mungkin lebih banyak dalam 60 peratus atau 55 peratus (sokongan). Malah kita juga mengharapkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu lingkungan lima ke 10 peratus dan ia sudah pasti akan memberi angkubah keputusan baik untuk PRU akan datang.
Adakah ini bermakna Pas boleh menjadi Perdana Menteri jika dominan dalam PN?
Pelantikan Perdana Menteri ini kena lihat (nama) dipersembahkan kepada Agong. Hendak bincang tentang perkara ini pun kita kena ada konsensus dalam PN dan sikap Pas ini bukan mahu sangat jawatan itu, tetapi kita mahu bekerja, musuh kita satu, kita tidak boleh fikir siapa Perdana Menteri. Siapa pun Perdana Menteri, tidak mengapa. Yang penting kita kena buat lebih baik daripada Pakatan Harapan, itu sahaja.
Sebab itu, orang sering fikir apa yang kita buat untuk pangkat atau jawatan, Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) kita ini mendidik kita supaya jangan meminta-meminta. Sebab itu, di zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pas tidak meminta jawatan. Waktu Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sama, beliau puji Pas sebab kita tidak berebut-rebut.
Pas tidak minat atau memang tidak kejar jawatan Perdana Menteri?
Kita tidak kejar jawatan itu sehingga mahu berebut, hendak lobi, itu bukan prinsip Pas. Begitu juga kami hendak bertanding dalam Muktamar Pas bulan September akan datang ini, saya pergi rasmi mana-mana kawasan setiap minggu di Dungun, Mersing, kemudian di Iskandar Puteri, tetapi sepatah pun kita tidak sebut tentang pertandingan.
Kita hanya sebut arahan kita adalah perkuat dan perkukuhkan parti. Kalau Pas buat begitu, Subuh lagi sudah kalah.
Secara tidak langsung, jawatan Perdana Menteri adalah milik Bersatulah?
Saya hendak tegaskan yang kita tidak kejar jawatan itu, malah kita tidak pernah lobi. Sewaktu saya letak jawatan pensyarah dulu dan aktif dalam Pas, tidak terbayanglah hendak bertanding dan menang wakil rakyat. Ketika PRU15 pun sama, ditawar bertanding Parlimen Bukit Gantang, tetapi sebab mahu letak Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, saya kata tidak bertanding, pun tidak mengapa.
Tetapi parti kata tidak boleh, saya kena bertanding. Sepatutnya saya ditawarkan kerusi Tumpat, tiba-tiba parti cakap kerusi Bagan Serai kosong, saya pun diminta bertanding sana.
Padahal saya Naib Presiden dan ahli Majlis Syura Pas, boleh buat apa sahaja serta menentukan calon, tetapi kita tidak guna sikap seperti itu. Itu bebanan, dimarah, dimaki di dunia, dekat akhirat, kita tidak tahu hendak jawab apa lagi.
Sama juga dengan isu Perdana Menteri, tidaklah kami fikir dalam parti, yang penting kita mahu berkhidmat pada parti. Kita menang dulu, kemudian siapa layak, ambillah. Sebab jawatan Perdana Menteri itu bukan rebutan Pas.
Itulah bezanya Pas dengan parti lain?
Itu budaya kita. Saya bagi contohlah ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika Tok Guru Hadi tidak mahu bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Saya tidak bersetuju dan saya kata Tok Guru kena bertanding sebab imej Tok Guru untuk mengepalai Terengganu ini.
Tetapi beliau tetap kata tidak mahu tetapi cadang seorang boleh bertanding iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu). Pada waktu itu, Dr. Samsuri adalah Pengarah Pilihan Raya dan dia pun tidak tahu bertanding DUN. Patutnya Tok Guru, sebab beliau lebih hebat daripada kami, tetapi beliau tetap tolak.
HUBUNGAN DENGAN UMNO
Bagaimana sokongan pengundi Melayu terhadap parti kerajaan sekarang?
Kalau kita tengok sekarang, memang ada keresahan dalam kalangan orang Melayu. Saya sendiri, bila turun ke bawah, orang kampung beritahu mereka tidak boleh terima kerjasama dengan DAP. Ini bukan benda baru. Jadi, bila tiba-tiba orang Melayu diminta terima gabungan begini, mereka sukar hendak hadam.
Masih berharap Pas kerjasama dengan UMNO?
Kita sentiasa terbuka untuk penyatuan ummah sebelum dan selepas PRU15, lebih lagi ketika sewaktu Muafakat Nasional (MN) dahulu. Malah sewaktu PRU15, kita pernah berbincang berkenaan 27 kerusi sukar menang iaitu dicadangkan 17 untuk UMNO, 10 untuk Pas supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru.
Tapi bila gabungan tidak berlaku, kita teruskan dengan Perikatan Nasional (PN). Sekarang ini, kalau UMNO hendak bincang semula atas dasar penyatuan Melayu, kita tetap terbuka. Tapi kena ada kejujuran dan kesediaan semua pihak.
Namun Pas berpandangan kerjasama UMNO dan DAP memberi kelebihan kepada kita.
WALA’ SEKAT DEMOKRASI PAS?
Benarkah Pas kuat disebabkan ahli-ahlinya setia?
Mana-mana parti mesti ada kena wala’ atau kesetiaan. Cuma dalam Pas kita berpegang kepada Allah dan Rasul, sebab itulah pemimpin keluar parti, kita tetap utuh. Perkara ini bukan baharu, pernah berlaku dalam sejarah panjang Pas.
Misalnya,Tan Sri Asri Muda, orang dan pidatonya hebat, tetapi keluar parti, tiada yang ikut. Begitu juga berlaku kepada Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad dan terbaharu kepada pemimpin Parti Amanah.
Ada juga yang kata penyokong Pas ini wala’ hanya kerana Presidennya seorang Tok Guru. Adakah benar begitu?
Itu salah satu faktornya. Tapi bukan semata-mata kerana jawatan atau gelaran. Orang hormat kerana akhlak dan keilmuan. Tok guru ini, walaupun bukan pegang jawatan tinggi, orang tetap ikut sebab ilmunya, cara hidupnya, akhlaknya. Saya masih ingat, waktu ceramah dengan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dulu, dia keluar hospital sekejap, masih sakit, bawa beg pundi kencing pun tetap datang beri semangat. Kami yang sihat ini, rasa malu kalau tidak buat kerja. Itu motivasi besar kepada kami.
Namun adakah disebabkan wala’ ini menutup ruang demokrasi dalam sesebuah parti?
Sebenarnya tidak tutup. Dalam perbahasan muktamar, kita tidak sekat dan kita buka. Kritik pimpinan itu biasa dalam parti kita. Kita pun ada berbeza pendapat, dalam mesyuarat Pas Pusat pun kita ada sahaja perbezaan pendapat.
Selepas itu, kita dengar pandangan masing-masing dan kadang kala Presiden pun buat keputusan bukan mengira pandangan dia sahaja. Kalau begitu, ia bukan lagi mesyuarat tetapi taklimat.
Komen pimpinan Pas yang kalah dalam pemilihan kawasan?
Itu salah satu contoh demokrasi berkembang subur dalam parti, sama ada Menteri Besar atau lain, mereka berhadapan dalam soal ini. Pas bukan parti lain dengan berkempen hendak beri orang duit, itu bukan budaya kita, oleh itu saya sebut kalau budaya ini wujud, dari Subuh kita sudah kalah.
Asas awal bila masuk Pas ini kena tahu apa dia hendak cari dalam Pas? Pas ini ada dasar Islam. Kalau hendak cari Pas untuk kesenangan, tidak ada benda. Sebab itu, orang bekerja dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini, setiap negeri perlu sediakan RM50,000.
Duit ini dari mana? Daripada ahli, sebab itu kita rasa tidak ada kepentingan. Kalau ada jawatan atau sesuatu yang kita pegang contoh sebagai Naib Presiden, pegang jawatan tinggi, lagilah kena keluar duit banyak. Kita bukan ada syarikat pun. Sebab itu, dalam Pas ini matlamatnya mudah, kalau matlamatnya tidak betul sama ada dia terkeluar sendiri atau dikeluarkan oleh parti.
Adakah Pas menapis ahli sebab ramai sangat masuk parti?
Tiada sekatan, syarat dia Islam. Pas ini ibaratnya seperti hospital. Siapa sakit kita ubatkan. Ada sakit jantung? Kita ubat. Pada kita pandangannya adalah macam nabi ajar, kita pandangan dengan Rahmah, sayang semua orang. Ada saja yang masuk Pas, tidak pakai tudung peringkat awal, sebab kita tidak sebut masuk Pas kena tutup aurat.
SEMUA AHLI PAS BOLEH JADI PRESIDEN
Presiden beri bayangan letak jawatan. Bagaimana keadaan Pas tanpa Abdul Hadi?
Setakat hari ini, mesyuarat terakhir kita pun masih lagi Presiden hadir. Tak timbul soal dia tidak mahu bertanding atau lepas jawatan, memang tak timbul dan tidak pernah sebut. Malah, arahan
Presiden pun masih tajam. Boleh tulis mengenai geopolitik, kira hebatlah, kami sendiri tidak boleh lawan dia.
Tok Guru ini masih kita perlukan. Cuma, kadang-kala kami yang tidak beri dia datang program. Kita cakap kita boleh uruskan. Tapi dari segi idea masih tajam lagi.
Ada beberapa tokoh meninggalkan Pas, tetap dilihat hebat. Apa pandangan?
Ya, memang ada yang anggap begitu. Tapi sebenarnya, kehebatan itu bukan terletak pada individu semata-mata, tapi kerana mereka bersama Pas. Bila mereka keluar, aura itu makin hilang. Orang nampak mereka hebat kerana berada dalam wadah perjuangan yang betul.
Kalau saya dulu pencen dan duduk mengajar, mungkin saya jadi profesor, doktor, tapi kelebihan saya hari ini adalah kerana saya berada dalam Pas. Orang kenal saya kerana saya bawa perjuangan Islam bersama Pas, bukan kerana nama saya sendiri.
Pas ada masalah jika Presidennya bukan datang daripada ulama’?
Pas sejak dahulu tidak pernah meletakkan syarat Presiden mesti datang daripada golongan ulama. Kalau suatu masa nanti Presiden datang daripada golongan profesional seperti Dr. Samsuri atau Datuk Seri Sanusi, itu bukan sesuatu yang pelik. Kita tidak pernah ada ketetapan yang mewajibkan Presiden mesti dalam kalangan ulama.
Sejak zaman Allahyarham Tok Guru Yusuf Rawa dan Allahyarham Tan Sri Asri pun, pemilihan dalam Pas sentiasa terbuka. Kita tidak pernah buat arahan mesti pilih ulama atau mesti pilih profesional. Kita serah kepada perwakilan dan ahli untuk memilih berdasarkan kelayakan dan kepercayaan mereka.
Tetapi majoriti Presiden Pas tetap datang dalam kalangan ulama. Adakah itu memang tradisi?
Ya, boleh dikatakan begitu. Tapi itu bukan kerana arahan parti. Ia lebih kepada kehendak ahli sendiri yang mahu pemimpin yang mereka anggap mampu membawa agenda Islam dengan lebih yakin. Mereka percaya kepada ulama. Tapi jika ahli mahu pilih golongan profesional, tidak menjadi masalah. Perlembagaan Pas tidak sebut jadi Presiden kena ulama.
Dari segi pemilihan Pas, ada kebimbangan akan berlaku perpecahan dalaman seperti parti lain. Apa jaminan?
Alhamdulillah, dalam Pas setakat ini kita tidak hadapi masalah itu. Kita disiplin. Kalau ada yang sengaja buat kacau, memang dia tidak layak jadi pemimpin. Kita bukan pilih ikut populariti, tapi ikut kemampuan bekerja dan kesetiaan kepada perjuangan.
Kita selalu ada usrah, perbincangan mingguan antara pimpinan. Semua ini bentuk kefahaman dan semangat jemaah. Bukan kerja seorang.
Adakah ahli Pas perlu tunggu lama sebelum layak bertanding atau memegang jawatan?
Tidak. Sesiapa boleh menyertai Pas dan terus bekerja dalam jemaah. Dia masuk ahli Pas hari ini, esok dia boleh bertanding pemilihan dan ditawarkan jadi wakil rakyat. Kita bukan seperti parti lain ada tempoh matang untuk kriteria pemilihan. Seperti Datuk Seri Shahidan Kassim, dia masuk Pas hari ini, esok jadi calon Pas dalam PRU15.
Yang penting, ada keikhlasan, faham dasar parti dan ikut saluran yang betul. Ada yang baru masuk, tapi bekerja kuat dan terus diberi tanggungjawab. Kita tidak ada kasta atau jalur tertentu. Pas merupakan parti yang dinamik. Bersama dalam perjuangan, bukan ingin pentingkan siapa masuk dahulu atau kemudian. – Mingguan Malaysia










