Samun, lupus barang kemas, wanita hamil dan suami dijel

Samun, lupus barang kemas, wanita hamil dan suami dijel

PASANGAN suami isteri dibawa ke mahkamah bagi berdepan pertuduhan menyamun dan melupuskan seutas rantai emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita yang hamil lima bulan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas kesalahan menyamun seutas rantai emas bernilai RM12,000, Mei lalu.

Hakim Haderiah Siri membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Jasila Jamaruddin, 31, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah merampas seutas rantai tangan emas bernilai RM12,000 daripada tangan seorang wanita berusia 42 tahun di hadapan sebuah kafe di Jalan Kerambit 4, Bandar Baru Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11 pagi pada 28 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK).

Timbalan Pendakwa Raya War­dah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu ia di­ringankan dengan alasan dia kini hamil lima bulan selain mempunyai empat anak yang masih kecil di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Haderiah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap 10 Jun 2025.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah, tertuduh, Muhammad Aliff­ Aiman Zaini, 24, yang juga suami Jasila dihukum penjara satu tahun selepas mengaku bersalah menerima dan melupus harta curi iaitu seutas rantai tangan emas.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Kiara 1, Kawasan Perniagaan Kiara Semenyih dalam daerah Hulu Langat kira-kira pukul 4 petang pada 28 Mei 2025.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani kerana mencuri pelbagai barang milik sebuah inap desa bernilai RM1,100 pada April lalu.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di sebuah unit kediaman di Atlantis Residence Tower Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada 26 April 2025.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudian boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 380 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 4 Jun 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×