SERDANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket memproses dan menjual rokok dicampur dadah jenis methamphetamine dalam satu serbuan di sebuah kediaman di daerah ini, Selasa lalu yang membabitkan rampasan bernilai RM2 juta.
Serbuan kira-kira pukul 1 petang itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas risikan mendapati premis terbabit dijadikan makmal memproses rokok campuran dadah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhammad Farid Ahmad berkata, hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai barangan dipercayai berkaitan dadah.
“Antaranya satu kotak plastik berisi daun kering yang dicampur dadah jenis syabu seberat 10,070 gram, dua kotak hitam bertulis ‘Korona’ di mana setiap kotak terdapat 120 batang dan 240 batang rokok yang dipercayai dicampur tembakau serta metamphetamine seberat 180 gram, serta lima kotak rokok kosong.
“Turut dirampas dua peket plastik mengandungi syabu seberat 610 gram, sebotol kaca berisi cecair putih dipercayai dadah metamphetamine seberat 200 mililiter, sebotol lagi berisi cecair perang seberat 100 mililiter dan sebuah mesin elektrik membuat rokok,” katanya pada sidang akhbar di IPD Serdang, di sini, hari ini.
Seorang lelaki tempatan dan juga seorang wanita warga asing yang merupakan pasangan kekasih ditangkap semasa serbuan Op Tapis di rumah sewa mereka ketika memproses bahan itu.
Katanya, kedua-dua suspek bekerja sebagai penjual batu jed dan suspek lelaki didapati positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing dan mempunyai lima rekod lampau, manakala wanita warga asing itu negatif dadah serta ini kali pertama ditahan.
“Sindiket memproses dan mengedar rokok bercampur dadah dipercayai mampu menampung kegunaan lebih 10,000 penagih dalam tempoh sehari,” katanya.
Sindiket terbabit turut dipercayai aktif memasarkan rokok berkenaan di sekitar Lembah Klang termasuk di pusat-pusat hiburan.
Menurut beliau, tindakan sitaan turut dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 dengan rampasan wang tunai bernilai RM1,000.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan mencecah RM2 juta. Kesemua suspek kini direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya. – UTUSAN









