PETALING JAYA: Kerajaan perlu meminda Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) bagi memastikan hak rakyat termasuk penganjur untuk berhimpun terus kekal terpelihara.
Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pindaan itu juga membantu semua pihak termasuk penganjur dan polis memahami fungsi serta tugas setiap perkara yang terkandung dalam pindaan tersebut.
Katanya, menerusi pindaan itu, penganjur disaran memberi makluman dalam tempoh munasabah tanpa perlu memberikan notis kepada polis.
“Pindaan perlu dibuat pada Seksyen 9(1) iaitu penganjur disarankan memberi makluman. Tidak perlu pakai notis. Makluman tersebut membolehkan polis membantu keselamatan perhimpunan awam.
“Sekarang ini apa yang menjadi masalah polis pun tidak faham. Mereka ingat itu kuasa mereka (membenarkan perhimpunan). Polis masih perlu benarkan perhimpunan atau biarkan (sekiranya tiada makluman) ia diadakan tapi bukan di bawah tanggungjawab mereka,” katanya.
Dalam pada itu Mohamed Haniff berkata, walaupun tiada kesalahan jenayah di Seksyen 9(5), penganjur perlu memaklumkan kepada pihak polis.
“Sebab ada kes sebelum ini di Mahkamah Rayuan yang memutuskan polis mempunyai tanggungjawab membantu perhimpunan awam dengan memberi keselamatan serta menjaga lalu lintas.
“Jadi kalau tiada notis dan tarikh, bagaimana polis hendak bantu,“ jelasnya.
Sebelum ini, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perkara 8 dan 10(1)(b).
Berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara adalah sama di sisi undang-undang dan layak mendapat perlindungan sama rata.
Dalam pada itu, Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pindaan seksyen tersebut perlu dilaksana dengan mengenakan hukuman yang lebih adil sama ada terhadap penganjur dan peserta, dan bukannya bersifat mengekang.
Malah katanya, pindaan perlu dilaksanakan segera agar selari kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengatakan bahawa akta tersebut tidak berperlembagaan, ia satu petanda yang jelas bahawa pindaan perlu dilakukan.
“Tambahan pula pindaan perlu dilakukan kerana ia dilihat terlalu menghukum, seolah-olah beranggah dengan akta sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN











