GAZA: Tentera Israel melakukan 26 pembunuhan beramai-ramai di seluruh Gaza dalam tempoh 48 jam lalu, mengakibatkan lebih 300 orang terbunuh dan ratusan lagi hilang atau cedera.
Pejabat Media Kerajaan Gaza dalam kenyataan berkata, serangan berterusan itu mencerminkan dasar berterusan Israel terhadap genosid dan pembersihan etnik.
Katanya, kebanyakan serangan menyasarkan pusat perlindungan dan kawasan penempatan yang sesak, seperti di Al-Baqa, tempat puluhan ribu penduduk dipindahkan berlindung.
Serangan turut menyasarkan keluarga Paleston di rumah mereka, pasar tempatan, kemudahan penting serta membunuh orang awam kelaparan ketika mencari makanan.
Pejabat itu menegaskan, kebanyakan mangsa terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, kesemuanya orang awam tidak bersenjata, sekali gus menyerlahkan sasaran terhadap golongan paling terdedah.
Katanya, jenayah itu berlaku selaras dengan usaha berterusan Israel untuk meruntuhkan sistem kesihatan yang masih berbaki di Gaza, termasuk pengeboman hospital, serangan terhadap pasukan perubatan serta sekatan kemasukan bekalan penting ke wilayah tersebut.- AGENSI











