PETALING JAYA: Satu siasatan telah dimulakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan dalam tender pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Siasatan itu dibuat selepas SPRM menerima aduan daripada salah sebuah parti politik berkaitan perkara tersebut.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, SPRM telah menjalankan siasatan awal berhubung aduan tersebut.
Katanya, pada masa yang sama, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) juga telah memulakan proses siasatan secara serentak.
“Selain KPKT yang telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender berkaitan, beberapa pihak yang terlibat turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek ini.
“Dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Zainul berkata, SPRM akan meneliti keseluruhan proses tatakelola sekiranya wujud sebarang kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur yang ditetapkan.
“Tindakan penyiasatan dibuat berasaskan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009,” jelasnya.
Pada 21 Mei lalu, KPKT menegaskan sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak bagi menyiasat projek MyKiosk termasuklah SPRM.
Ini susulan gesaan beberapa pihak yang mahu pihak berkuasa termasuk SPRM campur tangan dan menyiasat projek MyKiosk dengan mendakwa, harga binaan bagi setiap unit mencecah RM25,000 adalah mahal. – UTUSAN










