Berapa gaji kehidupan wajar pekerja Malaysia?

Berapa gaji kehidupan wajar pekerja Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isnin lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan seramai 153,000 pekerja di 34 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GILC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bakal menikmati gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan menjelang akhir tahun ini.

Menurut Amir Hamzah, ketika ini, enam GLIC dan tiga GLC telah mencapai tahap gaji itu manakala, 25 lagi agensi dijangka berbuat demikian akhir tahun ini. Katanya, ia berjaya dicapai menerusi Program Pengaktifan dan Pembaharuan Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang digerakkan kerajaan sejak hampir setahun lalu.

Tahniah diucapkan kepada kesemua syarikat GILC dan GLC terbabit yang memahami betapa selama ini gaji dinikmati oleh pekerja mereka bukanlah imbuhan berdasarkan kehidupan wajar. Gaji baharu itu pasti memberi kelegaan kepada pekerja terbabit.

Bagaimana pula dengan gaji berjuta lagi pekerja di negara ini? Jumlah 153,000 itu hanya peratusan kecil daripada 17.34 juta tenaga buruh di Malaysia setakat April 2025 lalu. Dan semua pekerja terbabit berdepan kesan langsung dan tidak langsung peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan tarif baharu tenaga elektrik bermula 1 Julai, serta pelbagai pelarasan subsidi lain yang bakal dilaksanakan kerajaan kelak.

Ketika kerajaan berusaha mengurangkan beban kewangan menerusi pelarasan subsidi dan peluasan cukai, pekerja di Malaysia pula berdepan situasi sebaliknya. Benar, pekerja di Malaysia telah menikmati kenaikan gaji minimum RM1,700 bermula Februari 2025. Namun, bayangkan RM1,700 dengan RM3,100-gaji kehidupan wajar pekerja GILC dan GLC.

Benar, adalah tidak adil untuk dibandingkan sebab jutaan tenaga buruh berkenaan tidak bekerja dengan syarikat GICL dan GLC. Namun, kenaikan kos hidup tidak pula mengenal sempadan. Sebarang kenaikan, golongan paling terkesan adalah mereka yang menikmati upah tidak dalam kelompok gaji kehidupan wajar itu.

Sedarkah kita, laporan Jabatan Perangkaan menyatakan 29.2 peratus pekerja formal warganegara menerima median upah bulanan di bawah RM2,000 pada Disember 2024. Lebih menyedihkan, analisis persentil jabatan itu menunjukkan kumpulan 10 peratus terendah pekerja formal warganegara menerima median upah bulanan sebanyak RM1,500 atau kurang setiap bulan. Syukur, dasar gaji minimum RM1,700 dikuatkuasakan. Namun adakah kenaikan RM200 itu sudah cukup besar untuk menampung kenaikan kos hidup di bandar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Petaling Jaya?

Maka tidak hairanlah pelbagai persatuan sekerja mahukan gaji yang lebih wajar dengan kehidupan pekerja di negara ini. Bayangkan, minum ais kosong dikedai makan di Petaling Jaya pun dikenakan caj 50 sen. Beli pisang goreng, tujuh keping RM3, burger pula yang suatu dahulu makanan golongan marhain dijual pada RM4 hingga RM5. Tidak pelik gaji tinggal `nyawa-nyawa ikan’ selepas ditolak pelbagai komitmen bulanan, terus menjadi bualan golongan pekerja terutama pekerja baharu.

Gaji dan insentif kurang menarik juga dikatakan punca penghijrahan ramai pekerja sektor perkhidmatan kesihatan awam ke sektor swasta dan luar negara hingga menyebabkan negara berdepan kekurangan jururawat.

Gaji yang rendah juga menyebabkan sektor perkhidmatan seperti pembersihan berdepan masalah mendapatkan pekerja tempatan. Malah, pihak kontraktor mengakui pekerja asing juga tidak lagi berminat untuk terlibat dalam pekerjaan itu disebabkan gaji rendah. Pengawal keselamatan asing juga dilaporkan kurang berminat untuk menyambung kontrak sebaliknya mengintai peluang di negara lain terutama Asia Barat yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Untuk itu, perlu ada kajian menyeluruh dalam menentukan berapa jumlah gaji kehidupan wajar yang patut diterima oleh pekerja di negara ini. Kita tidak mahu negara terus kehilangan pekerja terutama bakat-bakat hanya disebabkan gaji tidak wajar dengan kos kehidupan mereka. – UTUSAN

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia