LUMUT: Penganjuran Temasya Budaya@Negeri Perak 2025 di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini selama empat hari, berakhir 29 Jun lalu berjaya mencapai matlamat mempopularkan budaya dan seni negeri supaya tidak ditelan zaman.
Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Hisham Mat Husien berkata, pelbagai persembahan dalam temasya itu mendedahkan budaya dan seni tradisi orang Perak termasuk kaum Cina, India serta Orang Asli.
Katanya, JKKN menyesuaikan setiap persembahan atau pertunjukan agar menepati kehendak semasa tanpa mengorbankan amalan dan elemen teras demi mengangkat seni dan budaya rakyat Perak.
“Pengunjung bukan hanya datang untuk berhibur tapi ada juga pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan permainan tradisional rakyat. Program ini memberikan masyarakat meningkatkan kualiti ukhuwah, inilah budaya yang hendak diangkat.
“Ia mendapat respons yang baik daripada pengunjung yang kami anggarkan seramai 15,000 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hisham berkata, penganjuran di Manjung tahun ini adalah yang keempat selepas Teluk Intan tahun lalu dan ia merupakan sebahagian program JKKN di setiap negeri yang beridentitikan negeri masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya mengangkat produk rebana Perak sebagai identiti seni negeri.
Katanya, kebanyakan segmen dan bengkel adalah pengenalan kepada rebana Perak melalui segmen ‘Moh Rebana Perak 5.0’ yang menyaksikan pukulan rebana dialunkan selama empat jam tanpa henti melibatkan 116 peserta.
“Manjung bergema dengan pukulan rebana Perak. Kita hendak beri pendedahan kepada masyarakat supaya identiti seni ini jangan dilupakan dan generasi muda tahu tentangnya,” katanya.
Katanya, ia turut menjadi platform kepada kumpulan seni mendedahkan kesenian yang mungkin jarang dipersembahkan.
Beliau berkata, temasya itu merupakan peluang untuk dikenali masyarakat dan pemain industri. – UTUSAN











