ALOR SETAR: Dua pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 negeri ini yang meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 memilih tingkatan enam walaupun ditawarkan tempat di matrikulasi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang di Bandar Baharu, Nurul Husna Saffiyah Rasyidul Sabirin, 19, berkata, dia memilih untuk tingkatan enam kerana menganggap STPM ada banyak kelebihan.
“Sijil STPM juga diiktiraf universiti luar negara seperti Universiti Cambridge selain tempoh pengajian yang singkat iaitu setahun enam bulan berbanding di institusi pendidikan lain.
“Jadi, apabila tempoh pembelajaran yang singkat ia memberi peluang kepada saya melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya pada usia masih muda iaitu awal 20-an,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Nurul Husna, STPM juga banyak memberi tunjuk ajar antaranya bimbingan guru-guru yang dicurahkan dari awal hingga ke akhir semester sebagai persediaan awal menjejakkan kaki ke menara gading.
“Contohnya kerja kursus amat membantu pelajar bersedia membuat tugasan di peringkat ijazah pertama. Sepanjang di tingkatan enam juga saya mengikuti beberapa program untuk menaikkan semangat mencapai kejayaan dalam STPM,” katanya.
Muhd. Afiq Zuhairi Zulkifli, 19, yang turut meraih PNGK 4.00 berkata, dia memilih tingkatan enam selepas melihat suasana pembelajaran di sekolah yang sangat kondusif.
Kata bekas pelajar SMK Kubor Panjang, Pendang itu, visi jelas pengetua dan kesungguhan guru tingkatan enam menarik minatnya walaupun sudah ditawarkan ke matrikulasi.
“Guru-guru sangat komited dalam mendidik kami, lebih menarik kos yang diperlukan sangat rendah banding di tempat lain termasuk matrikulasi kerana kebanyakan sekolah berdekatan rumah sahaja.
“Jadi lepasan SPM yang berminat ke tingkatan enam jangan takut kerana STPM juga laluan terbaik untuk sambung belajar di universiti yang hanya memerlukan tempoh tidak sampai dua tahun,” katanya. – UTUSAN











