SEPANG: Adakah negara akan mendapat Ketua Hakim Negara yang baharu memandangkan sehingga berita ini ditulis, Tun Tengku Maimun Tuan Mat masih belum mendapat sebarang tawaran lanjutan perkhidmatan yang akan mencapai umur bersara, hari ini.
Sebaliknya, Tengku Maimun ketika ditemui Utusan Malaysia menyatakan beliau sangat ‘teruja’ untuk bersara kerana beliau tidak mempunyai masa mencukupi bersama keluarga tersayang ketika dalam perkhidmatan.
“Perasaannya lebih kurang, saya sebenarnya teruja sebab hendak bersara jadi, saya akan mempunyai banyak masa untuk bersama keluarga selepas ini,” katanya di sini semalam.
Tengku Maimun berasal dari Kota Bharu, Kelantan adalah wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
Beliau sebelum itu menghadiri program penutupan Persidangan Khas Hakim-Hakim di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Majlis itu boleh disifatkan sebagai ‘majlis perpisahan’ bagi meraikan persaraan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara.
Pada pertemuan itu, Tengku Maimun juga melahirkan rasa hiba memikirkan nasib badan kehakiman negara selepas ini namun tidak menjelaskan lebih lanjut apa maksud nada ‘hiba’ yang dikongsikan itu
“Selain itu, adalah sedikit rasa hiba kerana saya telah menjalani kehidupan dan menerajui badan kehakiman lebih enam tahun. Hiba memikirkan bagaimanakah nasib badan kehakiman selepas ini,” katanya dalam nada sebak.
Ditanya sama ada beliau pernah mengimpikan untuk menjawat jawatan utama itu, Tengku Maimun berkata, beliau langsung tidak pernah bermimpi untuk memegang jawatan Ketua Hakim Negara itu.
“Tidak pernah diimpikan. Ini semua kehendak Allah SWT. Jadi saya bersyukur dan ia (Ketua Hakim Negara) tidak pernah menjadi impian saya.
“Allah SWT sudah berikan saya peluang. Ini (jawatan) adalah satu penghormatan dan keistimewaan besar untuk berkhidmat dalam badan kehakiman negara,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau telah berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan kehakiman dan perundangan sejak 1986 sebelum menjawat jawatan hakim mahkamah atasan bermula tahun 2006.
Ditanya juga apa rancangannya selepas bersara, Tengku Maimun berkata; “Tiada rancangan besar. Saya tidaklah membuat apa-apa perencanaan setakat ini.”
Hari terakhir perkhidmatan Tengku Maimun, 66, sebagai Ketua Hakim Negara adalah pada Selasa ini dan mencapai usia persaraan wajib pada Rabu ini.
Turut kelihatan pada program sama ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib pada Rabu ini.
Selain itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan juga berada pada majlis sama.
Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Pada 20 Mei lalu, Tengku Maimun mengesahkan belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dan memberitahu pemberita, selain beliau, Abang Iskandar dan Nallini juga belum menerima tawaran berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau tidak pernah mencampuri urusan pelantikan mana-mana hakim di negara ini, sebaliknya menghormati sepenuhnya proses pelantikan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perdana Menteri, sebarang pelantikan atau penyambungan kontrak membabitkan penjawat awam termasuk hakim tertakluk kepada prosedur sedia ada dan bukan keputusan individu semata-mata. – UTUSAN









