BENTONG: UMNO tegas dengan pendirian tidak menerima semula mana-mana bekas ahli yang dipecat atau digantung tanpa melalui prosedur dan saluran rasmi bagi memastikan prinsip disiplin serta tatakelola parti itu terus dipertahan.
Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini hanya dua surat rayuan rasmi diterima dan diluluskan oleh parti, masing-masing daripada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif.
“Selain dua individu ini, tiada sebarang surat rayuan rasmi diterima oleh Ibu Pejabat UMNO. Segala polemik atau kenyataan terbuka tanpa tindakan formal tidak membawa apa-apa nilai dalam prosedur parti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini petang ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tetap menghormati suara akar umbi dan usul yang dibawa oleh beberapa bahagian parti, namun segala cadangan perlu melalui saluran rasmi termasuk rujukan kepada Biro Politik dan akhirnya dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk pertimbangan serta keputusan muktamad.
Beliau berkata, prosedur UMNO menetapkan bahawa mana-mana individu yang pernah dikenakan tindakan disiplin perlu terlebih dahulu mengemukakan surat rayuan kepada ibu pejabat parti itu sebelum kes mereka dipertimbang semula.
“Kuasa mutlak terletak kepada MKT. Dalam ketiadaan Perhimpunan Agung UMNO, MKT adalah badan tertinggi yang membuat sebarang keputusan berkaitan keahlian,” katanya.
Ditanya mengenai keterbukaan UMNO terhadap bekas ahli, beliau berkata, parti itu sentiasa bersikap inklusif namun tidak berkompromi dengan prinsip yang kemasukan semula mesti lahir daripada keikhlasan dan penyesalan, bukan sekadar agenda politik.
“Ini adalah tradisi dan budaya UMNO sejak zaman Datuk Onn Jaafar. Kita tidak menutup pintu, tetapi kita juga tidak melupakan luka. Jika pernah menabur fitnah secara terbuka, maka permohonan maaf juga mesti dilakukan secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata, walaupun beliau tidak merujuk kepada mana-mana individu secara khusus, bekas ahli yang mengetahui kesalahan mereka harus bertanggungjawab dan tidak sepatutnya mempersoal tindakan yang telah dikenakan seolah-olah mereka tidak bersalah.
“Saya ingin tegaskan, UMNO akan membuat keputusan berdasarkan semangat kolektif. Dalam politik, tidak semestinya satu campur satu menjadi dua. Ia lebih kompleks daripada itu dan kita perlu berfikir jauh ke hadapan,” katanya.
Menyentuh perkembangan politik Sabah, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor minggu lalu bagi memperinci perbincangan kerjasama strategik menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Kita tidak mahu berlaku pertandingan lapan penjuru seperti sebelum ini yang akhirnya hanya merugikan rakyat dan melemahkan kekuatan kita. Kerusi strategik akan ditentukan secara teliti oleh Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan parti rakan lain,” katanya.
Menjawab pertanyaan berhubung Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau menyifatkannya sebagai paling kritikal dalam sejarah politik negara dan UMNO harus bersiap siaga dari segi jentera, isu, persepsi serta komunikasi strategik dengan rakyat.
“Zaman ini, kita hanya ada tiga jam untuk menjawab isu besar. Jika kita gagal, persepsi terbentuk dan kekal. Justeru, UMNO kini telah menggerakkan gerak kerja secara lebih tersusun dan responsif, bukan seperti dulu,” katanya. – UTUSAN











