Tealive terus perkukuh kedudukan dalam pasaran

Tealive terus perkukuh kedudukan dalam pasaran

BRYAN LOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan pengguna terhadap produk Tealive terus menunjukkan pertumbuhan positif, didorong oleh pelbagai faktor termasuk cita rasa unik, aksesibiliti cawangan, reputasi jenama yang kukuh serta harga yang berpatutan. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, menyedari keperluan kepelbagaian pelanggan, Tealive menawarkan menu yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut cita rasa masing-masing.

“Kekuatan jenama Tealive terletak pada kemampuan mengetengahkan elemen tempatan dalam produknya, di samping mengekalkan kualiti konsisten dan inovasi berterusan. 

“Penempatan cawangan secara strategik di pusat beli-belah, institusi pengajian tinggi serta lokasi pandu lalu, turut memperkukuh kehadiran jenama di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Bryan Loo berkata, dalam persekitaran pasaran yang kompetitif, Tealive mengaplikasikan strategi harga berasaskan nilai dengan menyeimbangkan antara jangkaan pengguna dan dinamik semasa industri.

 “Kami memantau harga pesaing dan trend pasaran secara aktif, sambil memastikan setiap harga yang ditawarkan masih memberi nilai sebenar kepada pelanggan tanpa menjejaskan kualiti,” katanya. 

Loo berkata, kos bahan mentah, pembungkusan dan tenaga kerja diambil kira secara menyeluruh bagi memastikan margin keuntungan mampan dapat dikekalkan. 

“Tambahan pula, sebagai jenama berskala besar, Tealive memanfaatkan kelebihan rundingan dengan pembekal untuk mendapatkan harga input yang lebih kompetitif,” katanya. 

Jelas Loo, industri minuman berasaskan teh seperti Tealive digambarkan beroperasi dalam pasaran persaingan monopolistik, di mana beberapa jenama menawarkan produk yang serupa tetapi dengan pendekatan, resipi dan strategi pemasaran yang unik. 

“Penjenamaan yang kukuh, variasi produk serta kesetiaan pelanggan memainkan peranan utama dalam memastikan daya saing berterusan,” katanya. 

Mengulas mengenai kenaikan harga bahan mentah seperti susu dan teh, beliau berkata, Tealive sentiasa berusaha mengurangkan kesan langsung kepada pengguna melalui pengurusan kos yang efisien serta rundingan bersama pembekal. 

“Jika perlu, pelarasan harga hanya akan dilakukan selepas pertimbangan menyeluruh dan alternatif seperti memperkenalkan produk baharu akan dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×