PETALING JAYA: Sektor pembinaan Malaysia, disokong oleh rangkaian projek baharu yang mantap terutamanya dalam segmen pusat data telah membantu mengembangkan penilaian Indeks Pembinaan Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.
AmInvestment Bank Berhad berkata, aliran menaik kelihatan mampan memandangkan perubahan struktur daripada perbelanjaan infrastruktur dipacu kecerdasan buatan (AI) global, dengan syarikat hyperscaler terus memacu pelaburan bernilai trilion dolar dalam kampus data berketumpatan tinggi.
Katanya, pertumbuhan pesat infrastruktur AI yang didorong oleh hyperscaler seperti Google, Microsoft, Amazon dan Meta sedang membentuk semula peruntukan modal global, dengan pivot yang jelas ke arah kampus data berketumpatan tinggi yang dibina khas untuk memenuhi permintaan pengiraan AI yang melonjak.
“Aliran pelaburan berstruktur ini mencerminkan ledakan awan tetapi pada skala yang lebih besar kerana kepadatan kuasa rak meningkat dan penggunaan AI perusahaan mempercepatkan merentas sektor.
“Walaupun ketidakpastian makro, modal kekal melekat dalam AI dengan pemain mengutamakan daya saing jangka panjang melalui model dalaman, silikon tersuai dan infrastruktur proprietari.
“Momentum ini semakin ketara di Malaysia dengan buku tender pusat data berkembang pesat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, bank pelaburan berkata, di peringkat antarabangsa pula, peluang pengembangan luar negara menunjukkan pandangan yang bercampur-campur di seluruh Australia dan United Kingdom (UK)
“Australia agresif ke arah tenaga boleh diperbaharui yang disokong oleh sasaran persekutuan dan pelaburan berskala besar menawarkan prospek yang kukuh untuk pemain asing dalam utiliti skala boleh diperbaharui, penyimpanan bateri dan perkhidmatan tenaga.
“Sebaliknya, permintaan lemah sektor pembinaan UK, terutamanya dalam kediaman dan kejuruteraan awam serta mempercepatkan pemotongan pekerjaan mencadangkan peningkatan jangka pendek yang terhad untuk kemasukan asing,” ujarnya.
AmInvestment Bank menaik taraf panggilan sektor pembinaan kepada ‘overweight’ daripada ‘neutral’.
“Kami lebih suka pemain yang mempunyai kedudukan kukuh dalam infrastruktur margin tinggi dan projek berkaitan hyperscaler, terutamanya Gamuda dan Sunway Construction, kerana rekod prestasi mereka yang teguh, rangkaian pelanggan dan saluran pesanan yang sihat.
“Kami juga menyukai Binastra, memandangkan rekdo pesanannya dan hubungan pelanggan yang mendalam,” jelasnya.-UTUSAN









