Tayar hadapan pecah, anak sulung maut tercampak

Tayar hadapan pecah, anak sulung maut tercampak

KEADAAN kereta Toyota Vellfire yang terbabit kemalangan di Kilometer 189.1 PLUS arah selatan dekat Kesang, Jasin, Melaka yang mengorbankan Iris Sofea Mohamed Siddiq Khan (gambar kecil).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Niat murni sembilan sekeluarga menziarahi saudara di Singapura bertukar tragedi apabila anak sulung mereka maut, manakala adiknya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 189.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kesang di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 8.06 pagi itu, Iris Sofea Mohamed Siddiq Khan, 13, meninggal dunia di lokasi selepas tercampak keluar dari kereta Toyota Vellfire sebelum dirempuh kereta Honda City dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar hadapan sebelah kanan kenderaan dipandu bapa mangsa berusia 36 tahun meletup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Akibatnya, kenderaan itu hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi tengah jalan menyebabkan mangsa tercampak keluar dan jatuh ke lorong bertentangan lalu dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Johor.

“Selain mangsa yang maut, adiknya berusia 11 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya.

Mohamad Rusli berkata, empat ahli keluarga lain termasuk ibu mangsa berusia 41 tahun, datuk dan nenek masing-masing berusia 63 dan 60 tahun serta dua adik yang lain berumur tujuh dan empat tahun mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Jasin dan Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, manakala bapa mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu Honda City merupakan seorang wanita berusia 31 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini