TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendedahkan mereka pernah merancang membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei semasa perang selama 12 hari dengan Iran namun usaha itu tidak dapat direalisasikan kerana tiada peluang.
“Jika dia berada dalam sasaran, kami pasti menghapuskannya,” kata Katz kepada saluran Channel 13 dalam satu siri temu bual yang disiarkan pada Khamis.
Menurutnya, Israel mencari Khamenei dengan bersungguhsungguh namun tiada peluang untuk melaksanakan serangan.
Dalam temu bual lain bersama saluran Kan, Katz turut menegaskan Israel mempunyai dasar penguatkuasaan yang merangkumi kawalan udara terhadap ruang angkasa Iran, termasuk melancarkan serangan udara jika perlu, bagi memastikan Teheran tidak mengaktifkan semula program nuklear atau pembangunan peluru berpandu jarak jauhnya.
Beliau juga mengakui Israel tidak mengetahui lokasi kesemua simpanan uranium yang diperkaya milik Iran dan rejim itu turut tidak menyertai perang dengan jaminan Amerika Syarikat (AS) akan turut serta dalam serangan.
Menurut Katz, Khamenei menjadi sasaran utama namun Israel gagal menjejakinya selepas beliau dipercayai bersembunyi jauh di dalam bunker.
“Khamenei faham situasi ini, dia bersembunyi jauh di bawah tanah, memutuskan hubungan dengan para komander jadi akhirnya ia tidak realistik,” katanya kepada Kan.
Ketika ditanya sama ada Israel ada meminta kelulusan AS bagi tindakan tersebut, Katz menjawab kepada Channel 13 bahawa mereka tidak memerlukan kebenaran untuk perkara sebegini.
Sepanjang konflik, Katz antara yang paling lantang menyuarakan hasrat untuk membunuh Khamenei, menggambarkan pemimpin itu sebagai Hitler moden yang tidak boleh terus wujud.
Namun, katanya, objektif Israel bukanlah untuk menukar rejim, sebaliknya untuk menggugat kestabilan rejim semasa operasi dan memberi tekanan kepada Iran.
Katz turut mengesahkan srael tidak lagi memburu Khamenei selepas gencatan senjata yang dikuatkuasakan dua hari lalu. – AGENSI










