Geram betul melihat si arnab ini melaram dengan baju kecilnya beserta beg tangan. Bukan main lagi!
Arnab comel baka Netherland Dwarf milik Adila Ibrahim, 34, ini tampil bagaikan ikon fesyen walaupun sekadar berada di rumah.
Tambahan pula, baka ini sememangnya terkenal dengan tubuh kecil, telinga pendek dan wajahnya yang seakan-akan anak patung membuatkan sesiapa pun jatuh hati pada pandangan pertama.
Sushi bukan sekadar arnab peliharaan biasa bagi keluarga Adila. Ia disayangi sepenuh hati oleh seisi keluarga, termasuk suami Adila dan dua anak mereka.
Malah, anak lelaki mereka yang begitu ‘geram’ dengan kecomelan Sushi, telah memilih nama itu khas buat arnab comel ini.
Gaya hariannya cukup mencuri tumpuan.
Bagi Adila, tiada masalah berbelanja lebih asalkan si kecil kesayangannya itu kelihatan bergaya dari hujung telinga hingga ke hujung kaki!
Malah, Sushi juga suka dipakaikan pakaian yang cantik-cantik serta beg sandang di sisi.
“Saya gemar memperagakan Shushi hampir setiap hari, walaupun hanya di rumah, kerana menganggapnya seperti anak bongsu.
“Pada masa sama, menjadi aktiviti menyeronokkan buat seisi keluarga melihat Sushi sentiasa bergaya,” katanya kepada Seri.
Adila sekeluarga tidak pernah meninggalkan Sushi bersendirian di rumah.
Arnab bertuah ini turut serta dalam setiap aktiviti keluarga sama ada bersiar-siar, berkelah atau bercuti.
Sushi cukup berdisiplin dan tidak membuat hal ketika dibawa keluar.
Menurut Adila, walaupun Sushi dibiarkan bebas di dalam rumah, dia tetap tahu pergi ke sangkar jika ingin membuang air.
Sushi adalah satu-satunya haiwan peliharaan di rumah mereka.
Disebabkan itu, ia agak sensitif dengan kehadiran haiwan lain. Sushi menggigil apabila seekor kucing jiran memasuki rumah mereka secara tidak sengaja.
Sejak kejadian itu, Adila membawa Sushi ke mana-mana menggunakan beg khas haiwan, bukan sahaja untuk keselamatan, malah beg itu juga cukup bergaya dan sepadan dengan imej ‘fashionista’ Sushi yang sering mencuri perhatian ramai.
Penjagaan Rapi, Pemakanan Berkualiti
Sebagai pemilik bertanggungjawab, Adila amat menjaga aspek kebersihan dan kesihatan Sushi.
Arnab tidak sesuai dimandikan, jadi Sushi akan membersihkan dirinya sendiri seperti yang dilakukan oleh arnab secara semula jadi.
“Arnab mudah dijangkiti penyakit, jadi kami sangat berhati-hati. Makanan pun kami beri yang berkualiti iaitu pelet premium dan kadang-kadang ditambah buah atau sayur.” katanya.
Sushi juga agak cerewet dalam memilih makanan.
Namun, bagi keluarga ini, menjaga kehendak si kecil berbulu itu adalah satu bentuk kasih sayang yang tidak ternilai.
Dari pakaian hingga penjagaan, Sushi diberi kasih sayang sepenuh hati, menjadikan ia lebih daripada sekadar haiwan peliharaan.
Sushi mungkin kecil tubuhnya, tetapi kehadirannya dalam keluarga Adila bukan sahaja menceriakan rumah, malah mengeratkan hubungan keluarga melalui aktiviti bersama yang menyeronokkan.
Ia adalah sebahagian daripada keluarga. Seorang ‘adik bongsu’ yang manja, bergaya dan cukup istimewa.-UTUSAN











