Disihir mentua kerana cemburu

Disihir mentua kerana cemburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rumah tangga yang bahagia, bukan bebas daripada ujian, tetapi tetap teguh kerana adanya kesabaran.

Kadangkala ujian rumah tangga bukan datang dari luar, tetapi daripada mereka yang paling dekat.

Ini termasuk ibu mentua yang sejak awal tidak suka dan tidak pernah benar-benar menerima kehadiran menantu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih menyakitkan, kebencian itu disalurkan melalui jalan paling kejam iaitu sihir.

Minggu ini, saya kongsikan kisah seorang wanita yang disihir ibu mentua sendiri disebabkan tidak redha dan cemburu.

Namun, di sebalik ujian itu, wanita itu terus bersabar dan memilih untuk tidak membalas cara yang sama.

Reen (bukan nama sebenar) yang saya temui baru- baru ini mengakui tidak berniat menceritakan aib keluarga sendiri, lebih-lebih lagi ibu mentuanya telah meninggal dunia sejak dua tahun lalu.

Namun, perkongsian ini bertujuan memberi pengajaran kepada mereka yang senasib.

Kata Reen, dia hanya sempat merasai nikmat bergelar suami isteri hanya dua bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Segala-galanya bermula selepas suami, Hatta (bukan nama sebenar), mengambil keputusan untuk kembali tinggal bersama ibunya.

Menurut Reen, dia sejujurnya tidak bersetuju dengan keputusan itu, namun akhirnya terpaksa akur kerana ibu mentua tinggal seorang diri.

Menurut Reen, kehidupan mereka kelihatan sempurna di mata orang lain.

Suaminya seorang yang penyayang, bertanggungjawab dan bekerjaya stabil.

Reen pula bekerja di salah sebuah bank di ibu negara.

Menurut Reen, hari pertama melangkah masuk ke rumah ibu mentua, dia menaruh harapan mahu menjadi menantu yang disenangi dan isteri yang membahagiakan.

Tetapi sejak melangkah masuk, Reen mendapat layanan dingin daripada ibu mentua.

Ibu mentua tidak pernah memarahinya, tetapi kata-kata yang keluar daripada mulutnya seperti duri yang menyakitkan.

Segala yang dilakukan serba tak kena di mata ibu mentua.

Setiap pagi sebelum ke tempat kerja, Reen akan bangun awal dan menyiapkan sarapan.

Menu yang dimasak, tidak sesuai tekak ibu mentuanya.

Paling mengecewakan, ketika keluar bekerja, ibu mentua sesuka hati menceroboh bilik mereka.

“Saya cuba berusaha mengambil hati ibu mentua, namun tetap dipandang serong.

Saya dikatakan pemalas ketika berehat, kalau sibuk di dapur saya dikatakan penyibuk,” cerita Reen.

Namun paling menyedihkan, suaminya seakan buta dan bisu.

Apabila dia cuba bercakap dan meluahkan perasaan dengan berkias, suami memintanya bersabar.

MAKIN TERTEKAN

Sehinggalah pada suatu hari Reen berasa tidak sihat.

Menjelang malam dia sering alami muntah-muntah.

Tubuhnya lesu dan tidak mampu melakukan apa-apa.

Sejak itu, setiap malam tidurnya gelisah, tubuhnya lesu tanpa sebab.

“Saya fikir mungkin saya hamil. Namun selepas melakukan pemeriksaan di klinik, doktor mengesahkan saya tidak ada apa-apa.

“Doktor hanya menyatakan kemungkinan saya alami tekanan,” ujarnya.

Menurut Reen, dia tidak menafikan realiti dan perasaannya selepas bergelar isteri dan menantu.

Hidupnya kini bukan lagi tentang diri sendiri, tetapi belajar menyesuaikan diri dan seimbangkan tanggungjawab sebagai isteri, anak dan menantu.

Tidak berakhir di situ, Reen dituduh oleh ibu mentua berpura-pura sakit sekadar mahu meraih perhatian anak lelakinya.

Pada mulanya, Reen cuba bertahan. Menjalani kehidupan harian seperti biasa. Namun, selepas beberapa bulan sakitnya semakin teruk.

Lebih menyakitkan setiap kali dia mahu bersiap ke tempat kerja, dia akan muntah, tubuh mengigil dan sakit kepala.

Akhirnya, dia terpaksa berhenti kerja bukan atas pilihannya, tetapi keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Sehinggalah pada suatu hari salah seorang rakannya, Anisah (bukan nama sebenar) menghubunginya bertanya khabar.

Menurut Reen, sejak kebelakangan itu Anisah teringatkannya dan naluri sahabatnya itu kuat berkata ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya dibawa berjumpa dengan seorang ustaz. Ustaz berkenaan mengesahkan saya telah disihir oleh seseorang yang rapat dan saya kenali,” ujarnya.

Kata Reen, ketika itu dia benar-benar terkejut tetapi masih bersangka baik dan enggan menuduh sesiapa.

Dia hanya memohon kekuatan dan diberi kesabaran.

Dalam masa sama, dia terus berubat dengan menjadikan ayat-ayat suci sebagai pelindung.

“Alhamdulilah, hari demi hari. saya berasa lebih sihat dan pulih,” ujarnya.

Beberapa bulan selepas itu, ibu mentuanya pula diuji.

Tubuhnya yang dulu kuat dan suaranya yang lantang bertukar tidak bermaya.

Doktor mengesahkan ibu mentua menghidap kanser hati tahap akhir.

Sebagai menantu yang tinggal serumah, Reen bertanggungjawab menguruskan segala keperluan ibu mentuanya.

KEBENARAN TERUNGKAP
Sehinggalah pada suatu hari, ibu mentuanya seolah- olah dirasuk dan menjerit memanggil namanya.

“Saya benar-benar takut ketika itu kerana belum pernah ibu mentua berkeadaan sedemikian.

“Ibu mentua dalam keadaan separuh sedar meminta saya memaafkannya kerana selama ini bersikap buruk terhadap saya,” ujar Reen.

Takdir Allah SWT, dua minggu kemudian ibu mentuanya menghembuskan nafas terakhir.

Menurut Reen, suami meminta maaf selepas kebenaran terbongkar bahawa selama ini dia benar-benar disihir.

“Berkali-kali suami minta maaf kerana tidak percaya kepada saya sejak awal. Suami rasa bersalah lebih-lebih lagi atas perbuatan ibunya.

“Namun, saya tidak pernah menyalahkannya,” ujarnya.

Kisah Reen yang tetap memilih untuk bersabar dan memaafkan ibu mentua, di situlah darjatnya di angkat Allah SWT.

Hatta menjadi suami yang lebih menghargai dan melihat Reen bukan sekadar sebagai isteri, tetapi wanita luar biasa dalam hidupnya.

Hadiah paling indah kepada mereka apabila sebulan selepas itu Reen disahkan hamil.

Kini anak sulung mereka, Danish (bukan nama sebenar) berusia setahun dan kasih sayang mereka semakin erat.

Mengakhiri perbualan, Reen sempat menitip pesan kepada wanita yang sedang melalui penderitaan serupa agar bersabar dan tidak henti berdoa.

Sifat sabar juga sangat ditekankan dalam Islam .

Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar,”-(Surah Al-Baqarah ayat 153).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini