SME Bank umum inisiatif strategik RM211j

SME Bank umum inisiatif strategik RM211j sokong kerangka ekonomi Madani

AMIR Hamzah Azizan (tengah) dan Ewon Benedick (dua kiri) pada Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 Kendalian SME Bank di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.-UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SME Bank meluncurkan inisiatif strategik bernilai RM211 juta bagi menyokong Kerangka Ekonomi Madani yang diterajui kerajaan, selaras dengan mandat bank tersebut di bawah Belanjawan Negara 2025.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi seperti teknologi, pelancongan, halal serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), di samping memperkasa golongan usahawan B40 dan asnaf dalam usaha membina ekosistem perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, peluncuran program baharu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik melebihi RM1 bilion yang diamanahkan kepada SME Bank di bawah Belanjawan Negara 2025. 

“Inisiatif ini termasuk MySMELady 2.0, Pembiayaan Ekosistem Payung, Dana Kelestarian Alam dan Maju Usahawan Madani yang menzahirkan pendekatan menyeluruh kami dalam pembangunan negara dan komitmen untuk memperkukuh landskap keusahawanan negara. 

“Kami juga bangga untuk meluncurkan edisi keempat SME Bank iTEKAD ISHRAF (ISHRAF 4.0), iaitu inisiatif di luar menjaukaui pembiayaan khusus untuk melengkapkan usahawan B40 dan asnaf dengan ilmu, kemahiran dan sumber yang diperlukan untuk mengekalkan serta mengembangkan perniagaan mereka.

“Berbekalkan momentum positif ini, kami yakin untuk mencapai sasaran jumlah pembiayaan diluluskan sebanyak RM3 bilion pada tahun ini dengan fokus berterusan terhadap sektor-sektor strategik keutamaan, di mana RM2 bilion telah direkodkan setakat Mei 2025,” katanya dalam Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 SME Bank di sini. 

Majlis peluncuran disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick. 

Selain itu, Mohammad Hardee berkata, pencapaian tersebut mengukuhkan lagi peranan kami dalam pembangunan PMKS selaras dengan visi Madani Kerajaan untuk membina Malaysia yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

Inisiatif-inisiatif baharu yang diperkenalkan ini adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan khusus dalam sektor-sektor utama, khusus untuk PMKS bagi memastikan akses yang lebih luas kepada modal serta sokongan bersasar kepada pertumbuhan perniagaan. 

Antara program pembiayaan baharu termasuk  memperkasa usahawan wanita melalui pembiayaan khusus bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, penembusan pasaran dan daya saing.

“Melalui program MySMELady 2.0, pemerolehan aset dan atau modal kerja dengan had pembiayaan RM100,000 hingga RM3 juta dengan kadar keuntungan lima peratus setahun dan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun melibatkan wanita dalam kategori mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

“Melalui program Pembiayaan Ekosistem Payung iaitu menyokong usahawan bumiputera termasuk syarikat pemula untuk memulakan atau mempelbagaikan perniagaan dengan had pembiayaan iaitu RM50,000 hingga RM1 juta, kadar keuntungan empat peratus setahun dan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun dalam semua sektor ekonomi,” katanya. 

Sementara itu, Dana Kelestarian Alam memberi pembiayaan untuk transformasi operasi perniagaan ke arah rendah karbon dan kelestarian dengan pembiayaan bermula RM100,000 hingga RM5 juta.

“Dengan kadar keuntungan 3.5 hingga 6 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun melibatkan PMKS sektor yang komited ke arah kelestarian dalam segmen tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, bangunan hijau serta pengangkutan bersih,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×