PETALING JAYA: Malaysia perlu bersedia menghadapi kerugian lebih RM1 bilion sehari sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dilaksanakan di Selangor yang merupakan penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbesar negara.
Malah, PKP menyeluruh di Selangor sahaja akan menyebabkan kerajaan kerugian RM600 juta sehari, bagaimanapun jumlahnya bakal meningkat memandangkan penguatkuasaannya dijangka mempengaruhi Kuala Lumpur dan seluruh Lembah Klang.
Jumlah itu unjuran daripada sumbangan sebanyak 24 peratus Selangor kepada negara serta kawasan terimpak seperti Kuala Lumpur yang turut menyumbang 16 peratus kepada KDNK bagi tahun 2019.
Malah, pelaksanaan PKP yang lebih ketat itu juga akan memberi kesan kepada rantaian bekalan yang melibatkan negeri berhampiran seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Perak.
Justeru, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Putra (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, menjangkakan negara akan kembali mengalami kemerosotan KDNK daripada -0.5 peratus pada suku tahun pertama 2021 kepada -1.0 hingga -2.0 peratus bagi suku kedua.
“Jadi, memang impaknya amat negatif, kita tahulah kalau Selangor ini dikuatkuasakan PKP secara menyeluruh, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya turut akan terjejas. Secara ringkas, PKP di Selangor juga mungkin mendatangkan kerugian secara domino terhadap negeri-negeri lain.
“Kerugian yang dimaksudkan adalah, pertama dari segi ekonomi tempatan. Maknanya aktiviti jual beli dalam sektor tersebut terkesan teruk, ini kerana ramai penduduk di Selangor terlibat dalam ekonomi runcit,” katanya dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, akhbar Utusan Malaysia melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, mencadangkan supaya PKP penuh dan lebih ketat di Selangor setelah melihat kes jangkitan harian pandemik Covid-19 di negeri itu masih tinggi.
Selangor kekal menjadi negeri dengan kadar jangkitan harian tertinggi apabila mencatatkan jumlah jangkitan harian sebanyak 1,650 kes iaitu 37 peratus daripada kes baharu seluruh negara (4,446) pada Isnin.
Walau bagaimanapun, Ahmed Razman menambah, keadaan itu perlu dihadapi memandangkan kadar imunisasi masih rendah dan PKP menyeluruh mungkin pilihan terbaik sebelum pemberian vaksin secara besar-besaran dilakukan bermula Julai ini.
“Merujuk kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar,pada bulan Julai nanti baru dapat banyak bekalan vaksin.
“Maknanya dalam tempoh suku tahun kedua ini, kita punya kadar imunisasi masih rendah, jadi kerajaan dilihat tiada pilihan melainkan melaksanakan PKP yang ketat untuk elak jangkitan lebih tinggi,” jelasnya.
Namun, beliau menegaskan semua pihak perlu memainkan peranan termasuk agensi swasta dalam mengurangkan beban ekonomi yang akan dihadapi rakyat ekoran pelaksanaan PKP menyeluruh. – UTUSAN ONLINE










