Kemungkinan penuntut universiti dibunuh individu dikenali

Polis siasat kemungkinan penuntut universiti dibunuh individu dikenali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal polis terhadap kes bunuh penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya kelmarin akan dilakukan secara menyeluruh termasuk kemungkinan pelaku adalah individu dikenali.

Sumber berkata, polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti dan mengesan suspek terlibat.

“Polis masih mengesan suspek dan kemungkinan pelaku adalah individu dikenali memandangkan tidak terdapat sebarang kesan pecah masuk ke atas kediaman mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, polis juga ada mengesan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa oleh individu lain selepas dia dibunuh,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, mangsa berusia 20 tahun berasal dari Sarawak itu ditemukan maut oleh rakan serumah dengan kesan kecederaan di kepala kira-kira pukul 10.28 pagi di Mutiara Ville, Cyberjaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa mendapati terdapatnya kecederaan ditemukan di bahagian kepala.

“Mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada kepala.

“Selain itu, tiada kesan kecederaan ditemukan pada tubuh mangsa yang boleh dikaitkan dengan rogol,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular, sepasukan anggota polis dilihat membawa mayat mangsa keluar dari kediamannya sebelum dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beberapa pelajar dan rakan mangsa turut meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial susulan insiden itu dan mempertikai tahap keselamatan di Mutiara Ville itu.

Mereka masing-masing kecewa dan marah dengan tahap keselamatan di kondominium itu kerana boleh membiarkan suspek masuk dan membunuh rakan mereka.

Pada masa sama, mereka turut menyeru agar pihak universiti, pengurusan asrama dan pihak polis segera mengambil tindakan drastik selain menuntut supaya keselamatan di kediaman itu diperketatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini