Malaysia, Kyrgyz sepakat iktiraf semula Afghanistan

Malaysia, Kyrgyz sepakat iktiraf semula Afghanistan

ANWAR Ibrahim bersama Sadyr Zhaparov sempena lawatan rasmi Presiden Republik Kyrgyz ke Malaysia selama dua hari di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Kyrgyz menyuarakan soko­ngan agar Afghanistan diterima semula oleh komuniti antarabangsa dengan beberapa syarat tertentu sebagai langkah pen­ting ke arah kestabilan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu dibuat berikutan Malaysia menyokong panda­ngan Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhapa­rov.

“Kami turut menyentuh isu antarabangsa termasuk situasi di Afghanistan. Saya menyokong pandangan Presiden Zhaparov bahawa Afghanistan perlu kembali diterima komuniti antarabangsa dengan syarat-syarat tertentu.

“Saya berkongsi pandangan dalam hal ini kerana sebagai sebuah negara lebih dekat de­ngan Afghanistan, pastinya Kyr­gyz mempunyai pemahaman lebih mendalam dan kami pasti mengambil manfaat daripada nasihat serta pandangan itu,” katanya dalam sidang akhbar bersama Zhaparov sempena lawatan Presiden Kyrgyz di Kompleks Seri Perdana di sini semalam.

Ketika ini, tiada negara di dunia secara rasmi mengiktiraf pemerintahan Taliban sebagai kerajaan yang sah bagi Afghanistan selepas kumpulan itu mentadbir negara ber­kenaan sebagai Emiriah Islam Afghanistan sejak 2021.

Sementara itu, Malaysia dan Kyrgyz terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemeteraian 10 dokumen kerjasama merangkumi pelbagai bidang strategik sempena lawatan rasmi Presiden republik itu, Sadyr Zhaparov ke Malaysia.

Antara dokumen yang dimeterai adalah Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, kesihatan, transformasi digital dan keselamatan siber, selain kerjasama dalam perdagangan dan pembangunan eksport.

Pemeteraian kesemua dokumen itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sadyr Zhaparov dalam satu majlis di Kompleks Seri Perdana.

Kerjasama strategik itu dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, perdaga­ngan dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan eko­nomi utama di rantau Asia Te­ngah.

Terdahulu, Presiden Kyrgyz itu diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini pagi ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Ketibaan Zhaparov pada pukul 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Zhaparov kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×