Lori sampah ada 22,017 saman, bas ekspres 5,362 saman

Lori sampah ada 22,017 saman, bas ekspres 5,362 saman

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pe­ngangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia semalam me­ngumumkan senarai 28 buah syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, MOT dan JPJ mengenal pasti sebanyak 11 syarikat pengendali kenderaan barangan yang mempunyai lebih 1,000 saman tertunggak dan 17 syarikat pe­ngendali bas ekspres yang mempunyai lebih 200 saman.

Jelasnya, saman tertunggak itu merangkumi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Pengumuman ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MOT dan JPJ bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta langkah untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MOT, syarikat pengendali kenderaan bara­ngan, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. mencatatkan saman aktif tertinggi berjumlah 22,017 diikuti Mainiza Mantap Sdn. Bhd. (5,108); Advancecon Machinery Sdn. Bhd. (3,620); VK Transport Sdn. Bhd. (3,016) dan Ng Swee Aik Trading Sdn. Bhd. (2,352).

Selain itu, syarikat pengendali lain termasuk Boon Chin Transport Sdn. Bhd. (2,339); Nation Dimensions Sdn. Bhd. (2,226); Syarikat Ehsan Enterprise Sdn. Bhd. (2,168): Nek Gurun Logistics Sdn. Bhd. (1,062); Macro Dimension Concrete Sdn. Bhd. (1,014) dan SL Transport & Trading Sdn. Bhd. (1,006).

Manakala, bagi syarikat pe­ngendali bas ekspres, Cepat Ekspres Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang merekodkan saman aktif tertinggi berjumlah 540 saman.

Antara syarikat bas ekspres lain termasuk New Hoover Express & Travel Sdn Bhd (512); Kuala Lumpur-Alor Star Express Sdn. Bhd. (477); Express Senibudaya (M) Sdn. Bhd. (390); Suasana Edaran Sdn. Bhd. (370); Kurnia Bistari Sdn. Bhd. (351) dan Bandar Express Services Sdn. Bhd. (300).

Ia termasuk, Zenwan (M) Sdn Bhd (300); Gunung Raya Ekspres Sdn. Bhd. (288); Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn. Bhd. (272); GJG Travel & Tours Sdn. Bhd. (265); Sri Theven Travel Sdn. Bhd. (232); Dyana Express Sdn. Bhd .(230); Goldstar Express (M) Sdn. Bhd. (218); Plusliner Sdn. Bhd. (208); Kuala Yakin Sdn .Bhd. (206) dan Cosmic Angle Travel and Tours Sdn. Bhd. (203).

Menurut Anthony Loke, an­tara kesalahan utama yang di­kesan membabitkan syarikat pengendali kenderaan bara­ngan adalah kesalahan teknikal yang merangkumi brek, tayar tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai kenderaan, termasuk tiada lesen memandu, lebih muatan, tiada lesen kenderaan motor (LKM) atau insurans dan memandu lebih had laju.

Jelasnya, bagi syarikat pe­ngendali bas ekspres pula, JPJ mengenal pasti antara ke­salahan utama yang dilakukan adalah memandu lebih had laju, kesalahan lalu lintas (memandu lorong kanan berterusan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit), kesalahan teknikal, tiada lesen memandu dan tiada LKM atau insurans.

Beliau menegaskan kesemua syarikat yang terbabit diberi tempoh selama 14 hari dari tarikh pengumuman itu dibuat bagi menyelesaikan semua saman tertunggak di pejabat JPJ negeri dan cawangan.

“Kegagalan pihak syarikat berbuat demikian akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk kenderaan tersebut disenarai hitam secara serta-merta.

“MOT dan JPJ juga ingin mengingatkan kepada semua syarikat pengendali kendera­an untuk menyemak dan menyelesaikan saman tertunggak mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×