Terletak 26 Kilometer dari Seremban, Perkampungan Budaya Terachi yang sebelum ini terbiar sejak 2018, kini mula dibangunkan kembali dan menjelang tahun 2023 ia akan menjadi pusat sehentian budaya dan warisan Negeri Sembilan.
Sebelum ini ia merupakan sebuah restoran yang bangunannya berbentuk Minangkabau namun ia bakal berubah apabila kerajaan negeri mula menaik taraf segala kemudahannya untuk dijadikan destinasi pelancongan baharu di daerah Kuala Pilah.
Dengan kos perbelanjaan sebanyak RM5.4 juta, apabila ia siap sepenuhnya kelak, Perkampungan Budaya Terachi akan menjadi lokasi penting program-program kebudayaan di negeri ini.
Pengurus Besar, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), Muhammad Zahir Mazlan berkata, memang menjadi hasrat pihaknya untuk mewujudkan sebuah perkampungan budaya di negeri ini yang berpotensi menarik kunjungan pelancong.
“Saya difahamkan sebelum ini ia dibina oleh pihak Kementerian Pelancongan mengambil konsep seperti negeri lain seperti Terengganu dan Sarawak yang mempunyai perkampungan budaya masing-masing. Bagaimanapun, mungkin pada masa itu, daripada segi geografi, lokasi, kempen dan promosi, ia tidak mendapat sambutan.
“Kali terakhir tempat ini beroperasi pada 2018 dan sejak itu terbiar. Bermula tahun 2020 saya secara peribadi memohon kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan mereka bersetuju untuk membaik pulih kemudahan sedia ada di perkampungan budaya ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, pembinaan semula Perkampungan Budaya Terachi yang terletak di persimpangan ke Seri Menanti yang merupakan Bandar Diraja turut mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Kami tidak berhasrat membina sebarang bangunan atau kemudahan baharu kerana perkampungan ini menepati ciri-ciri identiti Negeri Sembilan malah kayu dan pasaknya juga masih berdiri teguh,” katanya,
Menurut Muhammad Zahir, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri juga telah membaiki kawasan restoran manakala pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menyediakan lapan petak sawah menerusi Skim Pengairan Terachi Batu 17 untuk dijadikan tapak acara ‘mengoca’ dan bola sepak sawah.
“Tuanku Muhriz yang mencemar duli mengadakan lawatan ke sini baru-baru ini juga berpuas hati dengan perkembangan perkampungan budaya ini.
“Fasa kedua proses naik taraf perkampungan ini ialah kami sedang membaiki 12 unit gerai untuk diduduki peniaga atau usahawan di negeri ini bagi menjual kraftangan, cenderamata, makanan dan sebagainya di bawah seliaan Majlis Daerah Kuala Pilah,” katanya.

Di samping itu, ujarnya, ada cadangan bagi membina sebuah kawasan pertanian agro di perkampungan berkenaan yang melibatkan Jabatan Pertanian manakala sebuah restoran dalam sungai juga akan dibina.
“Kami juga ada bercadang mewujudkan kemudahan inap desa bagi memudahkan pelancong untuk melawat perkampungan ini kelak. Bagaimanapun, inap desa itu akan diberi kepada komuniti setempat atau penduduk sekitar yang berminat bagi memberi sumber pendapatan kepada mereka.
“Selain itu, terdapat cadangan mewujudkan pasar pagi yang menjual hasil tanaman penduduk setempat seperti sayur dan buah-buahan. Berkemungkinan selepas Hari Raya Aidilfitri beberapa usahawan kecil akan mula berniaga secara berperingkat,” katanya lagi.
Sesuai sebagai antara laluan ke Muadzam Shah, Pahang serta ke Pantai Timur, LPNS menyasarkan seramai 200,000 pengunjung ke Perkampungan Budaya Terachi selepas ia siap sepenuhnya kelak.
“Sehingga proses naik taraf ini selesai, saya hanya menjangka 60,000 hingga 80,000 pengunjung sahaja namun selepas siap sepenuhnya saya menyasarkan 150,000 hingga 200,000 pengunjung setahun yang melawat perkampungan budaya ini,” katanya.
Menurut Muhammad Zahir, pihak LPNS juga berhasrat menjadikan Perkampungan Budaya Terachi sebagai perhentian wajib penunggang motosikal berkuasa tinggi
“Sepertimana kita ketahui, mereka (penunggang motosikal) gemar melakukan konvoi jadi kami akan mewujudkan sebuah lokasi persinggahan bagi hentian di perkampungan ini kelak,” katanya.











