TEHERAN: Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran (SNSC) hari ini mengumumkan republik itu membuat keputusan nasional untuk menghentikan perang terhadap Israel dan sekutunya, selepas mendakwa sudah memberikan tindak balas yang memalukan dan menjadi teladan terhadap pencerobohan musuh.
Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan oleh media kerajaan, SNSC berkata kemuncak tindak balas Iran termasuk serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar serta serangan subuh ke atas Israel.
“Musuh telah dimalukan dan terpaksa menerima kekalahan serta penghentian terhadap pencerobohan mereka,” menurut kenyataan itu.
SNSC turut memberi amaran pasukan bersenjata Iran kekal dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk memberikan tindak balas tegas dan menggentarkan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran oleh pihak musuh.
Terdahulu, ketegangan kembali memuncak selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menuduh Iran melanggar gencatan senjata dan mengarahkan serangan balas berskala besar ke atas sasaran rejim di Tehran.
Tentera Israel mendakwa mengesan pelancaran peluru berpandu dari Iran dan berjaya memintas dua daripadanya tanpa sebarang kerosakan atau kecederaan dilaporkan.
Sebagai reaksi, media rasmi Iran termasuk IRIB dan agensi berita ISNA menafikan sekeras-kerasnya bahawa sebarang peluru berpandu telah dilancarkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Mereka menegaskan semua operasi ketenteraan Iran telah dihentikan sejurus selepas serangan keempat pada awal pagi, selaras dengan perjanjian yang dimeterai.










