VIENNA: Badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memohon akses memeriksa uranium yang diperkaya oleh Iran selepas negara itu dipercayai sudah memindahkannya ke tempat lain sebelum Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap hujung minggu lalu.
“Iran, Israel dan Asia Barat memerlukan keamanan.
“Kita mesti kembali ke tapak nuklear Iran dan membuat pengiraan semula simpanan uranium termasuk yang paling penting sebanyak 400 kilogram (kg) yang diperkaya sehingga 60 peratus,” kata Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi.
Grossi berkata, serangan AS terhadap tapak nuklear bawah tanah Fordow berkemungkinan telah menyebabkan kerosakan besar namun adalah mustahil untuk menilainya tanpa lawatan ke lokasi.
Sebelum ini, Presiden Donald Trump cuba meyakinkan dunia tiga tapak nuklear utama Iran sudah musnah sepenuhnya dalam serangan yang dilancarkan pada awal Ahad lalu.
Trump mendakwa bom bunker yang digugurkan terhadap kesemua tapak nuklear itu berjaya menembusi struktur bawah tanahnya, sekali gus memusnahkan sistem pentingnya.
Namun, komuniti antarabangsa meragui kenyataan Trump berikutan tiada pemeriksaan penuh terhadap ketiga-tiga tapak nuklear berkenaan.
Iran juga tidak mendedahkan secara meluas mengenai keadaan di loji nuklearnya. Republik itu cuma mengesahkan serangan yang dilancarkan AS.
Sementara itu, Israel melancarkan serangan baharu pada Isnin terhadap penjara terkenal Evin dan pusat arahan Pengawal Revolusi di Teheran.
Rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat sedang mencari mangsa di celah runtuhan sebuah bangunan di penjara tersebut serta mengusung seorang lelaki yang cedera di atas pengusung.
Israel berkata, serangannya terhadap Teehran bertujuan menyasarkan secara menyeluruh struktur pemerintahan Iran dan keupayaannya untuk terus berkuasa.
Evin telah lama menjadi penjara utama Iran bagi tahanan politik dan keselamatan. Beberapa tahanan asing berprofil tinggi turut ditahan di sana. – AGENSI










