Eksklusifkan guna nama ‘Islam’

Eksklusifkan guna nama ‘Islam’

Laporan Utusan Malaysia 21 Jun 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan ‘Islam’ dalam pendaftaran pertubuhan perlu dieksklusifkan bagi mengelakkan sebarang penyebaran fahaman berbeza berbanding ajaran Islam sebenar.

Bagi merealisasikan perkara itu, kerajaan digesa meminda Akta Pertubuhan 1966 supaya penggunaan ‘Islam’ dalam mana-mana pertubuhan mestilah mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam mengikut negeri masing-masing.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, beliau bersetuju dengan pandangan untuk meminda Akta Pertubuhan 1966 supaya penggunaan ‘Islam’ da­lam mana-mana pertubuhan dikawal selia supaya doktrin di­sebarkan sejajar dengan ajaran Islam sebenar.

Beliau berkata, penyalahgunaan nama ‘Islam’ dalam mana-mana pertubuhan dibimbangi membawa kepada salah faham jika penggunanya menyebarkan ideologi berbeza mengikut kehendak sendiri.

“Saya bersetuju dengan pandangan bahawa Akta Pertubuhan 1966 perlu dipinda dengan memasukkan klausa penggunaan ‘Islam’ dalam sesuatu pertubuhan perlu mendapatkan kelulusan atau perakuan daripada Jabatan Agama Islam.

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

“Pindaan sebegini mem­boleh­kan Jabatan Agama Islam memantau aktiviti dan penyebaran fahaman pertubuhan tersebut dan jika ia bercanggah dengan ajaran Islam, mereka diberi kuasa untuk menghantar bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk membatalkan pertubuhan berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pandangan itu adalah susulan cadangan Institut Reformasi Politik & Demokrasi (Reform) bahawa pindaan untuk mela­rang atau menggugurkan nama ‘Islam’ pada semua pertubuhan yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966 perlu dibawa ke Parlimen.

Pengarah Eksekutifnya, Idzuafi Hadi Kamilan berkata, Parlimen juga boleh memperkenalkan pindaan secara retrospektif sekiranya kerajaan merasakan keperluan untuk mengenakan peraturan itu secara berbalik terhadap pertubuhan sedia ada.

Katanya, meskipun perkara berkaitan agama terletak di bawah kuasa negeri, sebarang pindaan kepada undang-undang seperti Akta Pertubuhan perlu diluluskan di peringkat Parlimen kerana ia adalah Undang-Undang Persekutuan.

Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pemakaian fatwa terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia).

Sebagai Ketua Agama Islam Negeri, baginda turut menggesa SIS agar tidak lagi menggunakan istilah ‘Sisters in Islam’ dalam sebarang bentuk penerbitan atau platform yang dikaitkan dengan pertubuhan tersebut.

Sementara itu, seorang lagi Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Shamrahayu Abd. Aziz di Facebook miliknya menyarankan supaya pihak yang mengeluarkan fatwa perlu ada mekanisme dalam menentukan sighah fatwa yang mana prosedur pewartaannya jelas dan mengambil kira pandangan penasihat undang-undang.

Menurut beliau sesetengah negeri telah ada dan mengamalkan prosedur tersebut namun terdapat negeri yang masih tiada proses yang jelas tentang perkara itu.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam bertegas dengan mengarahkan semua fatwa di negeri disemak semula bagi mengurangkan risiko di saman atau dibawa ke mahkamah.

“Walaupun mahkamah tidak membatalkan fatwa tersebut secara keseluruhannya, impaknya amat jelas kepada kita. Kita kena hati-hati mengungkapkan sighah atau lafaz fatwa apabila mahu fatwa tersebut menjadi undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, ini bukan kali pertama institusi berkaitan agama Islam ‘kalah’ di mahkamah kerana sighah fatwa.

“Sebelum ini di Kuala Lumpur, dalam kes Kassim Ahmad. Walaupun ada persoalan tentang kenapa fatwa tidak terpakai ke atas artificial persons kita tunggu alasan penghakiman pihak majoriti dalam Mahkamah Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×