TIDAK sampai 24 jam selepas menyambut ulang tahun ke-17, bintang TikTok Pakistan, Sana Yousaf ditemukan mati akibat ditembak di bahagian dada, dalam insiden pembunuhan yang mengejutkan seluruh negara.
Video sambutan ulang tahunnya dimuat naik sehari sebelum yang menunjukkan dia memotong kek merah jambu di bawah gerbang belon dengan senyuman ceria, berlatarbelakangkan Bukit Margalla yang dilitupi awan di Islamabad.
Sana yang memiliki lebih 830,000 pengikut ditembak mati di rumahnya di kawasan G-13, di ibu negara Pakistan pada 2 Jun lalu.
Polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dari Faisalabad, Umar Hayat, yang didakwa membunuh Sana kerana mangsa berulang kali menolak permintaannya untuk berkawan.
Ketua Polis Islamabad, Syed Ali Nasir Rizvi berkata, suspek berkali-kali cuba menghubungi remaja itu sebelum bertindak menembaknya dua kali di dada selepas usahanya tidak diendahkan.
Bapa Sana, Syed Yousaf Hassan masih tidak dapat menerima kenyataan kehilangan anak perempuannya itu.
“Anak perempuan saya lebih berani daripada anak lelaki. Dia tidak takut kepada sesiapa.
“Setiap detik bersamanya adalah kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya pilu.

GELOMBANG KEMARAHAN
Insiden tragis itu sekali lagi mengundang kebimbangan terhadap keselamatan wanita di Pakistan, terutama dalam era media sosial yang menjadi ruang baharu namun berisiko untuk generasi muda.
Pada masa sama, gelombang kemarahan mula memuncak dalam kalangan wanita di Pakistan yang menuntut keadilan buat Sana, menjadikan kes itu simbol kepada krisis kelelakian di negara Asia Selatan itu.
Pakistan bukanlah satu-satunya negara yang berdepan perdebatan hangat mengenai keganasan terhadap wanita.
Beberapa pembunuhan terbaharu di Amerika Latin, termasuk seorang pempengaruh Mexico ditembak mati ketika siaran langsung, mencetuskan kemarahan dan menyerlahkan kadar pembunuhan wanita yang tinggi di rantau itu.
Siri mini Britain, Adolescence, turut mencuri perhatian dunia tahun ini dengan paparan berani mengenai kerosakan yang disebabkan oleh kebencian terhadap wanita dalam talian.
Manakala, satu kajian berskala besar di Australia pula mendedahkan satu daripada tiga lelaki mengaku pernah melakukan keganasan terhadap pasangan mereka.
Kandungan TikTok Sana tidak jauh berbeza daripada remaja lain di dunia media sosial, yang memperagakan pakaian fesyen terkini, menyanyi sambil memandu atau merakam sesi rawatan rambut di salun.
Namun bagi aktivis hak wanita, kematian Sana mencerminkan akibat paling tragis daripada penyalahgunaan media sosial terhadap wanita, terutama di negara yang masih dikuasai budaya patriarki.

KEGANASAN BERASASKAN JANTINA
Walaupun pihak berkuasa Pakistan dipuji kerana bertindak pantas dalam menangani kes pembunuhan Sana, sesetengah penganalisis menekankan isu lain yang lebih penting.
Pengarah pertubuhan advokasi hak digital Bolo Bhi, Usama Khilji berkata, Pakistan seharusnya memberi tumpuan kepada pendidikan awal untuk golongan lelaki mengenai gangguan dalam talian.
Beliau berkata, ucapan kebencian terhadap wanita di Pakistan masih belum dianggap sebagai keutamaan dan menggesa kerajaan bertindak tegas dalam memerangi jenayah siber terhadap golongan itu.
Kes pembunuhan Sana berlaku kurang dua minggu selepas Mahkamah Agung Pakistan mengekalkan hukuman mati terhadap Zahir Jaffer, suspek kes bunuh Noor Mukadam, anak kepada seorang diplomat, pada 2021.
Pembunuhan Noor yang dibunuh kejam dan dipenggal kepala itu mengejutkan seluruh negara, sekali gus menyemarakkan semula desakan terhadap perlindungan menyeluruh kepada mangsa keganasan berasaskan jantina.
Bapa Noor, Shaukat Mukadam, dipuji kerana berusaha memperjuangkan keadilan terhadap kematian anaknya itu.
Selepas keputusan Mahkamah Agung itu, keluarga Noor mengeluarkan kenyataan menyifatkan keputusan tersebut sebagai peringatan jelas bahawa nyawa wanita adalah berharga.
Ia juga memberikan sedikit harapan kepada rakyat Pakistan yang sistem keadilan mampu menegakkan hak mangsa wanita, walaupun dalam kes berprofil tinggi.










