PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang melaksanakan dasar mewajibkan pendidikan prasekolah sebagai satu usaha mengatasi isu keciciran murid lebih awal dan sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara.
Langkah itu antara usaha besar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas dasar mewajibkan dasar sekolah rendah, disusuli dasar pendidikan sekolah menengah yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dasar mewajibkan prasekolah tidak boleh ditangguhkan lagi walaupun wujud cabaran tentang penyediaan infrastruktur yang lengkap, selain jumlah guru mencukupi demi meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan negara.
“Kita sudah ada dasar pendidikan wajib sekolah rendah yang kita anggap mencapai kejayaan enrolmen sejagat, kemudian kita ada dasar pendidikan sekolah menengah yang saya pasti akan jauh manfaatnya supaya anak-anak dapat ikuti pendidikan menengah.
“Namun, kita mahu melihat lebih awal lagi dengan mewajibkan pendidikan di peringkat prasekolah pula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Fadhlina berkata, dasar mewajibkan pendidikan prasekolah ini akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selepas semua kemudahan premis sudah disediakan serta kurikulum berkaitan diselaraskan dan hanya tinggal menempatkan anak-anak untuk mengikuti pembelajaran itu.
Beliau berkata, pendekatan KPM sedikit berbeza dalam usaha mewajibkan pendidikan prasekolah ini yang mana pada masa ini semua institusi pendidikan di bawah KPM diwujudkan kelas prasekolah termasuk di institut pendidikan guru (IPG), kolej vokasional dan kolej matrikulasi.
Katanya, KPM juga menyasarkan untuk melaksanakan persekolahan satu sesi membabitkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara menjelang 2030, sekali gus mewujudkan ruang lebih banyak untuk melaksanakan kelas prasekolah
Pada masa sama, katanya, advokasi dan penyebaran maklumat berhubung kepentingan pendidikan prasekolah akan turut disebar luas supaya masyarakat dan ibu bapa terutamanya mempunyai akses kepada keperluan pendidikan awal kanak-kanak.
“KPM mengambil pendekatan sedikit berbeza dengan membuat peluasan terlebih dahulu dengan menambah kelas-kelas kerana kelas prasekolah ini jumlah pelajar kecil sahaja sekitar 25 orang satu kelas.
“Kita perluaskan dengan persekolahan satu sesi, apabila sekolah satu sesi, salah satu sesi itu sama ada pagi atau petang akan menjadi sesi untuk prasekolah. Maknanya peluasan itu berlaku bukan sahaja di peringkat infrastruktur, tetapi juga peruntukan masa pembelajaran itu.
“Apabila peluasan berlaku, barulah kita boleh laksanakan projek-projek khas kita di peringkat prasekolah KPM,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, salah satu projek khas di peringkat KPM adalah saringan wajib kanak-kanak kepada keperluan khas dan ia akan diperluaskan di peringkat prasekolah.
Katanya, murid-murid akan disaring terlebih dahulu sebelum memasuki aliran perdana supaya sekolah dapat mengenal pasti keperluan mereka sama ada mempunyai masalah autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) atau keperluan-keperluan khas lain untuk memudahkan pengkhususan kelas-kelas di buat.
“Kelas-kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk murid berkeperluan khas ini akan diperluaskan di peringkat prasekolah. Permintaan sangat tinggi, jadi bila dasar pendidikan wajib sekolah menengah ni sedang berlangsung di peringkat Parlimen, dasar prasekolah juga sedang disiapkan terlebih dahulu.
“Apabila sudah meluas dan semua orang faham keperluan pendidikan prasekolah ini dan bersedia, baru lah kita senang nak laksanakan dasar tu, hanya endorse (sahkan) sahaja,” katanya. – UTUSAN











