KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Ihsan Financing for Business Resilience, Sustainability and Green Transition (IFIRST) sempena Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025, sebagai usaha mempercepat peralihan perniagaan ke arah ekonomi hijau.
IFIRST merupakan penyelesaian pembiayaan yang disasar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan untuk menggalakkan amalan perniagaan lebih lestari dan berdaya tahan.
Melalui inisiatif itu, Bank Islam menyediakan sokongan, akses pembiayaan serta khidmat nasihat bagi membantu syarikat menerapkan amalan terbaik dan menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, produk berkenaan terbuka kepada semua perniagaan, khususnya syarikat atau vendor yang terlibat dalam sektor karbon intensif bagi memenuhi keperluan kelestarian syarikat besar.
Menurutnya, fokus turut diberikan kepada syarikat berorientasikan eksport yang mahu memperkukuh aspek sosial dalam operasi memandangkan elemen tersebut semakin menjadi perhatian pasaran antarabangsa.
“Produk ini juga menawarkan insentif kepada syarikat yang memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang dipersetujui bersama.
“Contohnya, jika pelanggan berjaya mencapai sasaran KPI dari segi pengurangan pelepasan karbon, mereka akan menerima diskaun tertentu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif IFIRST terbuka kepada semua PKS dan syarikat sederhana, namun tumpuan utama adalah kepada industri yang berintensiti karbon tinggi seperti sektor minyak dan gas serta pembuatan.
“Ini kerana industri-industri tersebut memberi impak besar dari segi pelepasan karbon kepada alam sekitar dan memerlukan pelan mitigasi yang lebih berkesan.
“Dengan intervensi yang ditawarkan melalui IFIRST, kita yakin dapat membantu mempercepatkan peralihan mereka ke arah operasi yang lebih lestari.
“Dari perspektif hijau, inilah sasaran utama kita, manakala dari sudut sosial, fokus turut diberikan kepada industri berorientasikan eksport yang semakin terdedah kepada tuntutan isu sosial di pasaran global. Justeru, aspek sosial juga menjadi keutamaan dalam pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bank Islam telah menetapkan sasaran untuk mencapai jumlah pembiayaan mampan dan aset bernilai RM28 bilion menjelang tahun kewangan 2025, berbanding RM25 bilion ketika mula dilaksanakan sebelum ini.
“Peningkatan ini sebahagian besarnya dijangka disumbangkan melalui program di bawah IFIRST,” ujarnya.-UTUSAN











