NESP perkukuh peranan kewangan Islam sokong kelestarian

NESP perkukuh peranan kewangan Islam sokong kelestarian

NOR Azmie Diron (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed (kiri) merasmikan majlis Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025 di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (NESP) bakal memperkukuh peranan kewangan Islam dalam mendukung agenda kelestarian menerusi nilai keadilan, kepercayaan dan penjagaan alam sekitar.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri dan institusi kewangan, sekali gus disepadukan di bawah rangka kerja induk NESP. 

“Pelan strategik ini akan dilancarkan pada masa yang sesuai dan merangkumi visi jangka panjang untuk mencapai tiga sasaran utama, iaitu pelaburan hijau diunjurkan berjumlah RM1.3 trilion menjelang 2050.

“Pelaburan ini dijangka menyumbang RM220 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan kira-kira 310,000 pekerjaan hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Kelestarian Bank Islam 2025 dan pelancaran IHSAN Financing for Business Resilience, Sustainability and Green Transition (IFIRST) di sini, semalam.

Katanya, memandangkan bank berperanan sebagai penyedia modal, penglibatan mereka amat penting untuk menggerakkan pembangunan mampan.

“Inisiatif IFIRST dan Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) oleh Bank Islam mencerminkan peranan sektor swasta dalam merealisasikan visi tersebut.

“Inisiatif ini berasaskan empat tonggak utama iaitu sokongan pembiayaan dalam bidang strategik seperti tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau menerusi instrumen pelaburan serta kemudahan kredit patuh syariah.

“Tonggak kedua memfokuskan penglibatan pihak berkepentingan dengan memanfaatkan rangkaian global kewangan Islam, termasuk membuka peluang kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat sederhana,” ujarnya.

Beliau berkata, tonggak seterusnya adalah pembangunan kapasiti dan pemindahan pengetahuan melalui latihan, alatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta risikan pasaran bagi membantu peralihan ke ekonomi rendah karbon.

“Tonggak terakhir menekankan integrasi dasar dan pembangunan rangka kerja selaras dengan ESG antarabangsa, berteraskan prinsip Islam bagi membentuk model mampan bertaraf global yang mencerminkan identiti Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sehingga September 2024, Malaysia telah mencapai 43 peratus sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), jauh melebihi purata global iaitu 17 peratus, membuktikan peranan kewangan Islam sebagai pemacu kemajuan mampan.

“Menuju ke hadapan, kita akan terus memperkukuh kerangka Ekonomi Madani yang berteraskan enam prinsip utama iaitu kelestarian, prihatin dan belas kasihan, saling menghormati, inovasi, kemakmuran, dan kepercayaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×