GAZA: Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh selepas kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah sekumpulan rakyat Palestin yang sedang mendapatkan makanan daripada trak bantuan di Gaza, kelmarin.
Ia merupakan insiden paling berdarah setakat ini ketika keganasan semakin memuncak dan penduduk yang terdesak bergelut untuk mendapatkan makanan.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kira-kira 12 mayat hancur bergelimpangan di atas jalan di Khan Younis, selatan Gaza.
Tentera Israel mengaku melepaskan tembakan di kawasan tersebut dan mendakwa kononnya sedang menyiasat insiden berkenaan.
“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyedari laporan mengenai beberapa individu cedera akibat tembakan susulan pergerakan orang ramai menghampiri kawasan tersebut. Butiran insiden sedang disemak.
“IDF kesal atas kecederaan yang menimpa individu tidak terlibat dan sentiasa berusaha meminimumkan kemudaratan, selain memastikan keselamatan tentera kami,” dakwa tentera Israel.
Saksi berkata, kereta kebal Israel melancarkan sekurang-kurangnya dua tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul di jalan utama Khan Younis, untuk mendapatkan makanan daripada trak bantuan di laluan tersebut.
“Tiba-tiba mereka membenarkan kami bergerak ke hadapan dan membuat semua orang berkumpul, sebelum tembakan dilepaskan dari kereta kebal.
“Mereka mati, tubuh berkecai hanya untuk mendapatkan makanan dan tepung bagi memberi makan kepada anak-anak,” kata saksi kejadian, Alaa, ketika ditemu bual Reuters di Hospital Nasser.
Petugas perubatan Palestin memaklumkan, 221 lagi cedera dalam insiden tersebut, dengan 20 mangsa dilaporkan kritikal.
Ia merupakan jumlah korban harian paling tinggi sejak bantuan kemanusiaan disambung semula di Gaza pada Mei lalu.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, seramai 397 rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan makanan terbunuh dan lebih 3,000 lagi cedera sejak akhir Mei.










