Iran tembak jatuh jet pejuang Israel, musnahkan 14 dron

Iran tembak jatuh jet pejuang Israel, musnahkan 14 dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pegawai kanan Iran memaklumkan sebuah pesawat pejuang Israel jenis F-35 ditembak jatuh berhampiran Teheran dalam perkembangan terbaharu konflik bersenjata yang kini memasuki hari keenam.

Gabenor Daerah Varamin yang terletak di selatan ibu negara, Hossein Abbasi memberitahu agensi berita rasmi IRNA, pesawat itu terhempas berhampiran bandar tersebut.

“Sebuah jet pejuang F-35 milik Israel ditembak jatuh berhampiran Varamin. Pasukan keselamatan sedang menjalankan siasatan lanjut. Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai nasib juruterbang pesawat tersebut,” katanya.

Sumber Iran menyatakan ini adalah pesawat perang ketiga milik Israel yang berjaya ditembak jatuh sejak serangan besar-besaran Israel ke atas Iran bermula pada 13 Jun lalu.

Dalam insiden berasingan, pihak berkuasa Iran mengumumkan berjaya memusnahkan 14 dron tanpa pemandu (UAV) yang didakwa digunakan oleh ejen perisikan Israel untuk operasi di beberapa wilayah utamanya.

Jurucakap Polis Iran, Saeed Montazerolmehdi memberitahu agensi berita ILNA, serbuan dijalankan ke atas beberapa bengkel rahsia di wilayah Teheran, Alborz, dan Isfahan yang dikatakan menjadi pusat pengeluaran dron bunuh diri dan bahan letupan.

Tiga kenderaan yang membawa dron dan bahan letupan turut dirampas sementara pasukan keselamatan Iraq dilaporkan berjaya menahan beberapa suspek dan merampas kenderaan serupa berhampiran sempadan.

Sebelum ini media Israel melaporkan, agensi perisikan Mossad dipercayai mewujudkan sebuah pangkalan dron rahsia berhampiran Teheran.

Susulan laporan itu, pasukan keselamatan Iran menyerbu sebuah bengkel tiga tingkat yang disyaki digunakan untuk memasang dron mini dan bahan letupan dengan rakaman serbuan disiarkan di televisyen nasional menunjukkan pelbagai komponen dron serta peralatan letupan dirampas di bandar Rey, berhampiran ibu kota.

Pihak berkuasa percaya tapak pembuatan dron serupa mungkin wujud di lokasi lain di seluruh negara dan operasi pencarian masih diteruskan.

Beberapa tangkapan individu yang didakwa bekerja untuk Israel turut dilaporkan.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel mengesahkan satu dron mereka ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara ketika berada di ruang udara Iran.

Kenyataan itu mendakwa dron tersebut jatuh di Iran tanpa menyebabkan sebarang kecederaan dan tiada risiko kebocoran maklumat.

Media kerajaan Iran kemudiannya menyiarkan rakaman dron Hermes 900 yang ditembak jatuh di wilayah Isfahan, dilengkapi dengan lapan peluru berpandu canggih.

Media Iran turut melaporkan serangan udara Israel sejak 13 Jun menyebabkan 585 orang terbunuh dan 1,326 lagi cedera di Teheran dan beberapa bandar lain.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Israel dengan angka kematian dilaporkan seramai 24 orang dan lebih 500 orang cedera.

Serangan Israel dan tindak balas Iran terus mendapat kecaman antarabangsa, termasuk daripada Turkiye yang menyeru agar konflik dihentikan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×