SEREMBAN: Insiden kemalangan akibat melanggar lampu merah berulang lagi di persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Heights, Senawang di sini.
Kejadian terbaharu berlaku pada hari Isnin lalu melibatkan pelanggaran dua buah motosikal
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan pada pukul 9.28 malam itu berlaku apabila sebuah motosikal dari arah Taman Lavender Height menghala ke Bukit Blossom telah bergerak ketika lampu isyarat berwarna merah.
“Kemudian, datang sebuah motosikal dari arah Taman Sri Mawar melanggar bahagian sisi kiri motosikal tersebut,” katanya hari ini.
Menurut Mohamad Hatta, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua penunggang motosikal luka pada bahagian badan dan tangan.
Katanya, video kejadian tersebut turut tular di media sosial.
Beliau berkata, pemilik kamera papan pemuka dan individu yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Syakinah Ahmad di nombor 06-6033394 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN









