Serangan Israel di Iran sasar penduduk awam - Utusan Malaysia

Serangan Israel di Iran sasar penduduk awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sekurang-kurangnya 45 wanita dan kanak-kanak terbunuh manakala 75 lagi cedera dalam siri serangan Israel terhadap Iran sejak beberapa hari lalu, menurut jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani.

Dalam kenyataan yang disiarkan secara langsung di televisyen pada Isnin, Mohajerani berkata angka korban itu membuktikan dakwaan rejim Zionis yang kononnya hanya menyasarkan lokasi ketenteraan adalah palsu.

Beliau turut mengecam serangan terhadap Hospital Farabi di Kermanshah, barat Iran dan menyifatkannya sebagai bukti kebiadaban rejim ‘pembunuh kanak-kanak’ itu.

“Rejim Zionis sekali lagi menunjukkan wajah sebenar mereka. Serangan terhadap hospital dan kawasan kediaman adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.

Mohajerani turut menyeru rakyat Iran agar tidak terpengaruh dengan mesej teks mengenai pengosongan bandar yang disebarkan dengan menyatakan ia sebahagian daripada perang psikologi.

Menurutnya, institusi kewangan dan bank masih beroperasi seperti biasa, namun pasaran saham dan modal ditutup buat sementara waktu bagi melindungi aset rakyat.

Beliau turut memuji usaha pasukan polis dalam melancarkan aliran trafik keluar dari bandar-bandar utama serta memaklumkan beberapa stesen kereta api bawah tanah telah dibuka sebagai tempat perlindungan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei dalam kenyataan berasingan, mengecam serangan ke atas hospital sebagai satu jenayah perang.

“Menyerang hospital dan kawasan perumahan dipercayai diarahkan oleh Menteri Pertahanan Israel merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan jenayah perang,” katanya di platform X.

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran Israel sudah melakukan kesilapan besar dan akan menerima akibat yang menjadikan rejim itu ‘tidak berdaya’.

“Kami akan bertindak balas dengan kekuatan penuh dan menghukum rejim jenayah ini dengan serangan balas yang dahsyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×