TEL AVIV: Media tempatan melaporkan satu serangan udara yang dilancarkan Iran menyasarkan kawasan berhampiran kediaman keluarga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Caesarea, utara negara haram tersebut, semalam.
Serangan tersebut merupakan sebahagian daripada tindak balas balistik besar-besaran yang dilancarkan Tehran sebagai membalas tindakan agresif Israel yang menyasarkan Teheran baru-baru ini.
Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan siren serangan udara telah dibunyikan di beberapa kawasan utama termasuk Tel Aviv, Baitulmaqdis yang diduduki, pelabuhan Ashdod di Haifa, serta puluhan penempatan haram di seluruh negara itu.
Sebuah stesen jana kuasa di Khadera turut dilaporkan terkena serangan udara dalam insiden tersebut.
Radio Tentera Israel memetik kenyataan sumber tentera yang mengesahkan sebanyak 50 roket telah dikesan dilancarkan dari wilayah Iran menuju ke arah Israel.
Dalam kenyataan berasingan, Tentera Udara Israel menyatakan mereka sedang menjalankan usaha pemintasan ke atas kesemua peluru berpandu yang dilancarkan oleh Teheran.
Setakat ini, tiada laporan rasmi dikeluarkan mengenai jumlah kematian atau kerosakan harta benda dalam serangan tersebut.
Ketegangan antara kedua-dua negara dijangka terus memuncak selepas Israel sebelum ini didakwa melancarkan serangan rahsia ke atas tapak ketenteraan dan saintifik di Iran. —AGENSI










