Perang memuncak, Pakistan tutup sempadan dengan Iran - Utusan Malaysia

Perang memuncak, Pakistan tutup sempadan dengan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUETTA: Kerajaan Pakistan mengambil keputusan menutup semua lintasan sempadan dengan Iran untuk tempoh yang tidak ditentukan, susulan meningkatnya ketegangan serangan saling membalas antara Israel dan Iran, menurut pegawai wilayah pada Isnin.

Menurut Qadir Bakhsh Pirkani, seorang pegawai kanan di wilayah Balochistan yang berkongsi sempadan dengan Iran, semua kemudahan sempadan di lima daerah iaitu Chaghi, Washuk, Panjgur, Kech dan Gwadar digantung serta-merta.

Semalam, Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar memaklumkan seramai 450 jemaah Pakistan telah dipindahkan keluar dari Iran, dengan lebih ramai lagi dijadualkan untuk dikeluarkan termasuk dari Iraq dua negara yang menempatkan lokasi suci utama bagi umat Islam Syiah.

Pakistan, satu-satunya negara Islam yang memiliki senjata nuklear, menyatakan solidariti penuh terhadap kerajaan dan rakyat Iran susulan serangan yang dilancarkan oleh Israel pada minggu lalu.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif turut memberi amaran dunia perlu berwaspada terhadap keupayaan nuklear Israel yang menurutnya tidak mematuhi sebarang disiplin antarabangsa.

Israel diketahui sebagai satu-satunya kuasa nuklear di Asia Barat, meskipun tidak pernah mengisytiharkannya secara rasmi.

Laporan media turut menyebut kemungkinan Pakistan menyokong Teheran sekiranya konflik tersebut merebak, namun para pegawai di Islamabad menegaskan pendirian negara itu setakat ini adalah sekadar menyatakan solidariti moral dan diplomatik.

Pakistan yang majoriti penduduknya berfahaman Sunni berkongsi sempadan sepanjang lebih 900 kilometer dengan Iran yang dikuasai oleh majoriti Syiah.

Hubungan kedua-dua negara sememangnya rumit, dengan Islamabad sering berdepan dilema antara tekanan sekatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) terhadap Tehran dan hubungan eratnya dengan Riyadh, yang beberapa kali tampil membantu menyelamatkan ekonomi Pakistan melalui penangguhan pembayaran hutang.

Nilai dagangan dua hala antara Pakistan dan Iran kini dianggarkan sekitar AS$3 bilion dan kedua-dua negara telah berikrar untuk meningkatkan jumlah itu kepada AS$10 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×