TEHERAN: Perang antara Iran dan Israel mencetuskan suasana panik dan ketidakpastian dalam kalangan penduduk Teheran.
Penduduk melaporkan barisan panjang di stesen minyak dan kedai roti, serta kesesakan lalu lintas apabila ribuan cuba meninggalkan bandar.
“Kami tidak tidur selama beberapa malam. Kami tidak mahu Teheran yang indah ini menjadi seperti Gaza,” kata seorang pelajar muzik berusia 21 tahun kepada BBC.
Lebih 220 orang dilaporkan terbunuh di Iran sejak serangan bermula Jumaat lalu, menurut pihak berkuasa Iran.
Dalam tempoh yang sama, sekurang-kurangnya 24 orang maut di Israel akibat serangan balas peluru berpandu Iran.
Tidak seperti di Israel, Iran tidak mempunyai sistem amaran awal atau tempat perlindungan awam yang mencukupi.
“Kami hanya dengar letupan dan berharap kawasan kami tidak terkena,” kata seorang penduduk.
Ada yang kini berlindung di stesen metro atau masjid, manakala yang lain berpindah ke kawasan tanpa bangunan kerajaan.
Kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyeru rakyat Iran bangkit menentang kepimpinan ulama turut mencetuskan reaksi bercampur.
“Kami tidak mahu diselamatkan oleh Israel. Tiada negara asing pernah benar-benar peduli tentang Iran,” kata seorang wanita muda.
Dalam suasana yang semakin tegang, rakyat Iran terus bergelut dengan dilema moral, ketakutan harian, dan ketidakpastian masa depan.










