TEHERAN: Pegawai Kanan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Mohsen Rezaei menegaskan Iran tidak pernah dan tidak akan membina bom nuklear.
Beliau berkata demikian kelmarin, tiga hari selepas Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran.
“Kami menunggu reaksi sekutu Israel, sama ada mereka akan berundur atau tidak. Maksudnya, lebih cepat pimpinan rasional di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bertindak, mereka mesti menarik balik sokongan mereka terhadap Israel.
“Jika perkara ini tidak berlaku, dan kami menyaksikan AS serta negara-negara lain memberikan sokongan logistik kepada Israel, pesawat mereka akan memasuki ruang udara dan bertembung dengan peluru berpandu kami. Sama ada ia pesawat Britain, Perancis, atau AS.
“Oleh itu, dimensi peperangan mungkin menjadi lebih serius, dan kami bersiap sedia menghadapi situasi tersebut. Kami sentiasa berusaha untuk tidak menjadi pencetus, tetapi kami akan menjadi pihak yang mengakhirinya,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa serangan tersebut menjejaskan program nuklear Iran, mungkin untuk tempoh beberapa tahun serta menolak gesaan antarabangsa agar bertindak dengan lebih berhemah.
Dalam masa sama, Presiden AS, Donald Trump, memuji tindakan Israel dan memberi amaran kepada Iran bahawa serangan lebih dahsyat bakal menyusul.
Beliau berkata, masih belum terlambat untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel, tetapi hanya jika Teheran bersetuju mengurangkan secara drastik program nuklearnya dalam rundingan dengan Washington yang pada asalnya dijadual pada Ahad.
Bagaimanapun, Iran membatalkan rundingan tersebut selepas serangan mengejut Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 224 orang, dengan 90 peratus daripadanya orang awam.
Rezaei berkata Iran ketika ini menunggu untuk melihat pendirian sekutu Israel dalam konflik ini dan membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.










